Berikutan kontroversi yang dicetuskan oleh tindakan Kerajaan Negeri Pahang memberikan vaksin kepada pekerja perhotelan, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri seharusnya meningkatkan tahap ketulusan dalam menguruskan maklumat tentang program vaksinasi.
Usaha ini mampu meredakan keraguan rakyat tentang kontroversi bahawa hanya sektor ekonomi tertentu diberi keutamaan untuk menerima vaksin.
Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang memvaksinasi pekerja di 56 hotel di Pahang tanpa kebenaran.
Kerajaan Negeri Pahang berbuat demikian setelah memberikan vaksin kepada penerima Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan sebelum golongan ini boleh diberikan suntikan dos kedua.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Pahang mengatakan bahawa antara faktor penting yang diambil kira adalah kewujudan Kluster Genting yang berlarutan selama dua bulan.
Selain itu, pemberian vaksin kepada pekerja perhotelan juga akan membantu menggerakkan ekonomi dan sektor sokongan negeri iaitu pelancongan dan pengangkutan.
Setakat ini, Kerajaan Negeri Pahang telah memvaksinasi 3036 pekerja perhotelan. Jika dibandingkan dengan golongan guru di Negeri Pahang yang berjumlah hampir 26000, data kerajaan Negeri menunjukkan bahawa hanya 3820 orang guru telah menerima vaksin setakat ini.
Dengan kata lain, jumlah guru yang diberi vaksin adalah hampir sama dengan jumlah pekerja hotel yang terlibat dalam program vaksinasi.
Memandangkan sesetengah frontliners termasuk guru serta golongan warga emas belum menerima vaksin, tidak hairanlah sekiranya orang ramai mempunyai keraguan terhadap tindakan Kerajaan Negeri untuk memberikan vaksin kepada individu dari sektor ekonomi lain.
Sesetengah orang ramai juga akan mengesyaki bahawa Kerajaan Negeri berkemungkinan mengamalkan layanan “double standard” dengan memberi keistimewaan kepada pihak tertentu untuk menerima vaksin, manakala mengabaikan kesihatan frontliners seperti guru.
Oleh itu, saya menyeru Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk membenarkan orang ramai mengakses senarai nama individu yang telah dan akan menerima vaksin. Dengan ini, rakyat dan NGO dapat menyemak identiti penerima vaksin dan sektor ekonomi mereka, serta mampu memantau progres bagi program vaksinasi.
Nescayanya inisiatif tersebut akan meningkatkan tahap ketelusan dalam usaha kerajaan untuk memerangi pandemik, dan pada masa yang sama, memulihkan keyakinan rakyat terhadap program vaksinasi dan usaha lain yang menangani pandemik demi mecapai matlamat imuniti kelompok (Herd Immunity).