Keputusan unilateral Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan usul persendirian bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud, di sidang Parlimen yang bakal berakhir pada 9 April, adalah satu lagi tindakan khianat oleh PAS melanggar konsensus Pakatan Rakyat yang dipersetujui sendiri olehnya ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015; yang merupakan mesyuarat Majlis Pimpinan terakhir dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum beliau dipenjarakan pada 10 Februari. Ia diadakan di ibu pejabat PAS, dan dihadiri oleh Hadi sendiri.
Pun begitu, Hadi telah mengemukakan notis kepada Parlimen pada 18 Mac, untuk melaksanakan hudud ke tas orang Islam di Kelantan dengan meminda Akta 355, iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965. Undang-undang hudud di Kelantan baru sahaja diluluskan secara sebulat suara oleh sidang DUN Kelantan pada 19 Mac 2015. Dengan mengemukakan notis pada ketika rang pindaan enakmen tersebut belum pun diluluskan, ia menunjukkan bahawa Hadi sekali lagi telah memungkiri janji yang dibuatnya sendiri pada mesyuarat 8 Februari, bahawa sebarang usaha untuk mengemukakan usul persendirian harus terlebih dahulu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan.
Isu yang didepani Majlis Pimpinana Pakatan Rakyat bukan setakat kedegilan PAS yang mahu percaya dan bekerjasama dengan Umno demi melaksanakan undang-undang hudud tetapi juga penghinaan presidennya terhadap Pakatan Rakyat dengan memungkiri janji yang dinyatakannya sendiri kepada Pakatan Rakyat. Pengkhianatan bersiri oleh kepimpinan utama PAS ini adalah satu tindakan provokasi yang dilakukan secara sengaja untuk memecahkan Pakatan Rakyat, atau demi mengugut DAP dan PKR supaya menyerah kepada PAS atau sebaliknya melihat Pakatan Rakyat berpecah.
Pendekatan sedemikian oleh Hadi tidak boleh menjadi sebahagian daripada pendekatan konsensus yang digunakan Pakatan Rakyat demi demokrasi yang sihat dan koalisi yang berfungsi dengan baik, malah ia mencabuli pendekatan konsensus tersebut. Bukan sahaja pimpinan DAP berasa marah dan dikhianati oleh PAS Kelantan dan beberapa pimpinannya yang pro-Umno atas sikap tidak jujur, licik dan khianat mereka membelakangi Pakatan Rakyat, tetapi juga kerelaannya untuk percaya dengan Umno bagi melaksanakan undang-undang hudud.
Pengundi bukan Islam dan muslim moderat yang telah menyokong PAS dalam pilihanraya umum yang lalu turut berasa marah dengan pengkhianatan ini. Amat menyedihkan jika Hadi mendakwa bahawa masih ada tempat untuk PAS di hati orang bukan-Islam kerana ia bukan sahaja tidak benar malah beliau sebenarnya berkhayal jika menyangkakan bahawa sokongan kalangan bukan-Islam terhadap PAS masih belum hilang.
DAP dengan tegas membantah pelaksanaan undang-undang hudud bukan kerana ia Islamik, tetapi kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini dicerminkan oleh maklumbalas yang dikendalikan oleh Merdeka Center di kalangan warga Melayu pada April 2014 di mana 58% responden Melayu merasakan bahawa negara masih belum bersedia untuk melaksanakan hudud, dan maklumbalas terbaru pula menunjukkan bahawa 81% responden Melayu/Islam lebih mengutamakan bantuan dan pemulihan banjir berbanding undang-undang hudud.
Bagi para pembela Umno dan MCA di dalam media yang dikawal BN, di kedua-dua akhbar Cina dan bukan Cina, mereka sepatutnya mendengar nasihat bekas presiden MCA Tan Sri Dr Chua Soi Lek di Malaysiakini hari ini dan MCA tidak boleh mengeluarkan kenyataan menghentam DAP sedangkan Umno juga turut menyokong undang-undang hudud. Apologis media Umno di dalam media berbahasa Cina ini telah memaafkan Umno kerana menyokong hudud tetapi terus menyalahkan DAP walaupun DAP menentang undang-undang hudud.
Apoligis media Umno di akhbar Cina juga turut memilih untuk tidak menghiraukan kenyataan bekas Naib Presiden MCA Datuk Gan Ping Sieu bahawa MCA sepatutnya menghukum Umno kerana menyokong hudud dengan memutuskan ikatan dengan Umno, kerana menteri Umno di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom lah yang telah menghasut PAS di Parlimen pada 27 MAc 2014 untuk melaksanakan hudud ke atas orang Islam di Kelantan dengan menjanjikan sokongan Kerajaan Persekutuan.
PAS nampaknya telah meletakkan dirinya di satu sudut dengan kerelaan untuk hilang segala-galanya, bukan sahaja menamatkan Pakatan Rakyat malahan juga prospek dalam pilihanraya akan datang, dengan meletakkan kepercayaan kepada Umno demi melaksanakan undang-undang hudud. Dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Isnin malam nanti, tindakan terkini oleh Hadi ini akan dipertimbangkan sekali bersama undang-undang hudud yang telah diluluskan oleh PAS Kelantan.