Skip to content

ITIS, sistem dinosaur yang banyak membazir belanja. Batalkan sahaja.

Ketua Audit Negara dan media telah banyak kali mendedahkan laporan yang begitu mengejutkan mengenai Integrated Transport Information System (ITIS), sistem yang melibatkan makluman trafik menggunakan papan-papan tanda elektronik.

Sistem ITIS yang gagal ini dikendalikan Dewan Bandara Kuala Lumpur (DBKL) dan hanya menyiarkan ucapan-ucapan perayaan, selain berfungsi memaklumkan bahawa sesebuah jalan itu sesak hanya sesudah kita berada di jalan tersebut. DBKL pula kena membayar RM565.74 juta untuk sistem ini setakat tahun 2013.

Saya telah melihat draf belanjawan DBKL 2015, yang malangnya tidak dapat saya kongsikan amaun peruntukan kepada projek ITIS tahun hadapan kerana dokumen tersebut dilindungi Akta Rahsia Rasmi (OSA). Namun saya boleh menyatakan bahawa jumlah wang yang terlibat adalah tidak masuk akal dan melampau.

Minggu lepas dilaporkan bahawa Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas sebuah projek insinerator yang telah ternyata gagal kerana dijalankan secara rundingan terus dengan syarikat yang tidak berpengalaman.

Mengambil contoh daripada gesaan terbabit, saya telah pada dua hari yang lepas di sidang parlimen memohon supaya Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan atau sesiapa yang berkenaan dan berkelapangan untuk mengambil tindakan tegas termasuk melapor kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap pihak yang meluluskan projek ITIS, termasuk kontraktor sebelum ini atas kerugian sejumlah RM565.74 juta wang rakyat, serta kegagalan berterusan untuk menjayakan sistem terbabit.

Malah, saya juga menyatakan di parlimen lebih baik Tengku Adnan mengentikan sahaja sistem ini yang nampaknya sudah tidak boleh dibantu lagi memandangkan ia menggunakan teknologi zaman purba dan perkakasan zaman dinosaur.