Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan melaksanakan pendekatan outreach ke pusat-pusat jagaan warga emas bagi memastikan 2,185 penghuni membabitkan 49 buah pusat jagaan berdaftar berkaitan di seluruh negeri ini memperoleh suntikan vaksin. Malah, inisiatif yang bakal dimulakan dalam tempoh terdekat (jangkaan minggu ini) juga bakal meliputi para penghuni di pusat-pusat jagaan warga emas tidak berdaftar berdasarkan senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Inisiatif tersebut merupakan hasil perbincangan saya bersama-sama Pengarah JKNPP, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang dan Exco Kesihatan pada petang semalam. Kerajaan Negeri dalam pada itu menggesa supaya proses pemberian vaksin Fasa 2 membabitkan kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas dan morbiditi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dipercepatkan.
Ini kerana sejak ia berlangsung kira-kira dalam tempoh sebulan (bermula 19 April 2021), daripada keseluruhan 210,902 individu yang berdaftar menerusi MySejahtera (125,866 individu merupakan mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas), sehingga 15 Mei 2021, hanya 31,412 orang yang menerima dos suntikan pertama. Secara keseluruhan, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sasaran populasi Fasa 2 bagi negeri Pulau Pinang adalah berjumlah 460,800 orang. Ini menunjukkan peratusan mereka yang telah menerima vaksin kini adalah amat tidak memuaskan. Mengambil kesempatan ini juga, saya menyeru supaya mereka yang tergolong dalam kategori ini juga supaya membuat pendaftaran sebagai penerima vaksin pada kadar segera.
Bagi saringan massa membabitkan sektor perkilangan hasil usahasama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang menerusi RT-PCR menggunakan sampel air liur iaitu Deep Throat Saliva (DTS), Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif tersebut selepas memperoleh kata putus berhubung aspek logistik terutamanya lokasi-lokasi makmal serta juga memperhalusi penyelarasan bersama-sama JKNPP bagi memastikan kapasiti pusat-pusat kuarantin adalah mencukupi. Malah, dalam tempoh dua minggu lalu, saya turut memantau rapi perangkaan dikongsi JKNPP bagi memastikan bahawa kira-kira 60,000 saringan dibuat terhadap kontak rapat, mereka yang bergejala dan kes-kes sproradik bukan hanya membabitkan institusi perubatan kerajaan, sebaliknya juga di klinik serta hospital-hospital swasta. Serentak itu, bagi mereka yang bergejala ataupun merasakan diri terdedah dengan kontak kes positif, adalah dinasihatkan supaya segera ke pusat-pusat perubatan terdekat bagi menjalani saringan kendiri. Ini adalah demi kebaikan bersama!