Rakyat tidak mahu sejarah memalukan berulang. Kes pembunuhan Altantuya membuktikan bahawa apabila pihak berkuasa gagal bertindak tegas dan melaksanakan tanggungjawab mereka sejak peringkat awal, seorang anggota polis yang dijatuhi hukuman mati pun boleh melarikan diri ke Australia dan kekal bebas sehingga hari ini.
Kini, skrip yang sama berisiko berulang di Melaka.
Dalam mana-mana kes bunuh, prosedur paling asas ialah menahan semua individu yang terlibat bagi tujuan siasatan. Polis Melaka masih tidak mengambil sebarang tindakan. Apa yang sedang ditunggu? Siapa yang sedang dilindungi?
Ketua Polis Negara tidak boleh terus berdiam diri. Penjelasan terbuka mesti diberikan kepada rakyat mengenai siapa yang bertanggungjawab terhadap siasatan awal, serta sama ada wujud sebarang percubaan untuk menutup atau memesongkan fakta kes.
Rakyat menuntut jawapan, bukan alasan. Siapa yang memberi arahan, siapa yang menarik picu, dan siapa yang cuba melindungi mesti dikenal pasti dan diheret ke mahkamah.