Saya berasa kecewa Ketua Pengarah JPA, Dato’ Seri Mohd Shafiq Abdullah gagal dalam kenyataan medianya menjawab 2 isu yang telah saya bangkitkan berhubung kod berpakaian yang dikenakan oleh jabatan-jabatan kerajaan. Beliau sekadar mengulangi alasan yang dinyatakan oleh Presiden CUEPACS, Dato’ Haji Adnan Mat bahawa kod pakaian adalah selaras dengan Prinsip Kelima Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan.
Tidak pernah dalam kenyataan-kenyataan media saya saya menyokong orang ramai supaya tidak berpakaian sopan apabila pergi ke jabatan kerajaan. Secara umumnya, kita semua berpakaian sopan dan ada di antara kita yang berpakaian sangat segak apabila bertemu pegawai-pegawai kerajaan.
2 isu yang saya bangkitkan adalah seperti berikut:
- Adakah orang ramai boleh dinafikan perkhidmatan oleh jabatan kerajaan hanya atas alasan mereka gagal mematuhi kod pakaian yang ditetapkan oleh jabatan kerajaan.
- Samada jabatan kerajaan mempunyai kuasa undang-undang untuk menetapkan kod pakaian sebagai satu peraturan dengan kuat kuasa undang-undang dan bukannya sekadar satu nasihat sahaja.
Isu kesopanan dan kesusilaan tidak timbul sama sekali. Saya telah memetik satu contoh di mana seorang peguam wanita yang pakaiannya boleh diterima di mahkamah tetapi tidak dibenarkan masuk ke jabatan pendidikan kerana skirtnya hanya ke paras lutut. Pakaiannya pastinya tidak dianggap kurang sopan atau tidak bermoral mengikut pandangan orang ramai secara am melainkan kita mengenakan pandangan persendirian yang subjektif tentang kesopanan dan kesusilaan.
JPA telah melanggar Prinsip Keempat Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang jika ia berkeras untuk membuat peraturan kod pakaian dengan kuat kuasa undang-undang sedangkan tiada undang-undang yang memberikan kuasa sedemikian kepadanya.
Dalam kenyataan-kenyataan media saya sebelum ini saya telah menjelaskan bahawa Menteri Kabinet dan penjawat-penjawat awam memperolehi kuasa mereka daripada undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Terdapat undang-undang yang memberikan pelbagai kuasa kepada menteri dan penjawat awam berkenaan dengan kementerian masing-masing. Walau bagaimanapun, tiada undang-undang yang memberikan kuasa kepada penjawat awam untuk membuat peraturan mengenakan kod pakaian ke atas orang ramai sebelum perkhidmatan boleh diberikan kepada mereka.
Mana-mana kod pakaian hendaklah hanya bersifat satu nasihat sahaja dan tidak boleh sekali-kali dilaksanakan sebagai satu peraturan dengan kuat kuasa undang-undang.
Memandangkan perkara ini melibatkan isu undang-undang, JPA haruslah merujuk perkara ini kepada Jabatan Peguam Negara untuk pandangan mereka.