Skip to content

Jadikan 2024 tahun untuk perpaduan kebangsaan, kestabilan politik, dan reformasi

Seorang rakan ada menghantar kepada saya satu artikel yang ditulis bersama oleh Dr. Hew Wai Weng dan Dr. Nicholas Chan yang bertajuk “Media sosial dan penciptaan rasa tidak selamat dalam kalangan orang Melayu-Islam”.

Ini adalah satu artikel yang patut dibaca oleh semua rakyat Malaysia untuk memahami mengapa kerajaan Pakatan Harapan yang pertama tumbang selepas 22 bulan akibat konspirasi politik Langkah Sheraton, yang kemudiannya membawa masuk kerajaan “pintu belakang” yang pertama di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua penulis ini mendapati yang dalam beberapa tahun yang lepas, ramai ahli-ahli politik, aktivis, penceramah, ahli akademik, pempengaruh, “pemimpin pendapat”, dan tentera siber di Malaysia telah aktif dalam usaha meningkatkan perasaan tidak selamat dalam kalangan orang Islam dan dalam menyebarkan naratif yang “Islam tergugat”.

Perasaan tidak selamat dan kepercayaan yang kedudukan Islam di Malaysia sedang terancam ini yang telah menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan yang pertama tumbang.

Namun, adakah Islam terancam di Malaysia?

Kedudukan Islam di Malaysia tidak pernah terancam. Apa yang terancam sebaliknya adalah perpaduan nasional dan kestabilan politik dalam sebuah Malaysia yang berbilang etnik, agama, budaya, dan tamadun.

Kerana inilah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong telah mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15, di mana cadangan ini telah ditolak oleh PAS dan Bersatu dari Perikatan Nasional.

Dalam tahun pertamanya, Kerajaan Perpaduan Anwar terpaksa bertarung demi kelangsungan hidupnya, kerana Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin sangat yakin yang Gelombang Hijau yang dicetuskan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 mampu menumbangkan Kerajaan Perpaduan Anwar dan mereka jangka perkara ini akan terjadi selepas enam pilihan raya negeri pada bulan Ogos.

Namun, Gelombang Hijau ini gagal untuk membesar menjadi tsunami dalam enam pilihan raya negeri, walaupun ia masih menjadi satu perkara yang tidak boleh dipandang kecil seperti yang ditunjukkan dengan keputusan pilihan raya kecil parlimen Kemaman.

Kedua-dua penulis ini berhujah yang apa-apa usaha untuk memahami gelombang hijau ini tidak boleh terlepas pandang dimensi media sosial, terutamanya peranan yang dimainkan PAS melalui jaringan aktivis parti, pempengaruh, dan pendakwah yang menyebarkan mesej kononnya “Islam sedang terancam” dalam pelbagai platform media sosial, terutamanya di TikTok di mana isu-isu perkauman dan keagamaan menjadi teras utama kempen mereka.

Artikel ini merujuk kepada strategi kempen negatif, di mana seruan untuk mengundi disertakan bersama dengan isu-isu eksistensial yang menyentuh senario buruk untuk agama dan orang Islam sekiranya PN kalah dalam pilihan raya (sedangkan perkara ini kini terbukti tidak terjadi, walaupun hampir mustahil untuk membuktikan perkara yang negatif).

Ia mengatakan: “Kebimbangan utama untuk demokrasi di Malaysia adalah penggunaan amalan-amalan pilihan raya sebegini menjadi sebahagian daripada penyertaan gelap di mana aktiviti-aktiviti yang tidak bertamadun, dari penyebaran maklumat salah hinggalah kepada kempen kebencian dan pembulian atas talian terus menerus menghakis kepercayaan jangka masa panjang dan kebolehan untuk institusi demokrasi untuk berfungsi.”

Mari kita jadikan 2024 satu tahun untuk perpaduan kebangsaan dan kestabilan politik.

Pada masa yang sama, marilah kita jadikan 2024 juga satu tahun di mana Malaysia berjaya melaksanakan reformasi untuk menghentikan kemerosotan yang disaksikan negara dalam suku dekad yang lepas untuk kita menjadi sebuah negara hebat dunia.