Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diminta mematuhi penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berdasarkan garispanduan yang diputuskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( Jakim) dua tahun lalu.
Ahli parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong, dalam kenyataan akhbar beliau, berkata dalam isu hiasan krismas di hotel dan permis makanan yang diperakui halal di Negeri Melaka, beliau menyeru supaya JAIM akur kepada nasihat Menteri Dr Zulkifli.
Menurut laporan media hari ini 20 Dis), Menteri Dr Zulkifli berkata bahawa tiada larangan dikenakan untuk mana-mana premis halal menggunakan hiasan perayaan agama lain seperti yang telah diputuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dua tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata ia tertakluk kepada beberapa syarat termasuk penggunaan hiasan terbabit tidak menjejaskan prinsip halalan thoyyiban serta tidak melibatkan paparan logo dan sijil pengesahan halal.
“Keputusan ini terpakai kepada isu dekorasi hiasan perayaan selain Islam di bahagian dapur atau outlet hotel yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM),” kata Dr Zulkifli dalam kenyataan beliau.
Pengerusi DAP Melaka Khoo berkata terdapat banyak hotel,restoran makanan segera dan rangkaian makanan yang telah dipersijilkan halal di Negeri Melaka yang sejak sekian lama memberi perkhidmatan kepada pengguna daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Hiasan perayaan di premis-premis ini lazimnya bersifat komersial dan budaya, bukannya upacara agama.
Pelaksanaan peraturan yang dikeluarkan oleh JAIM secara menyeluruh berpotensi mengehadkan perasaan meriah menyambut perayaan, sekali gus memberi kesan terhadap interaksi sosial harian dan suasana keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.
“Kami turut bersetuju dengan prinsip yang ditegaskan oleh Menteri bahawa penghormatan terhadap kepelbagaian budaya dan agama merupakan asas penting dalam pembinaan masyarakat Malaysia, dan hiasan perayaan yang bersifat budaya serta bukan upacara agama tidak akan menggugat asas akidah umat Islam,” kata Khoo.
Sebaliknya, menganggap perayaan budaya sebagai ancaman kepada keimanan hanya akan mencetuskan keresahan sosial yang tidak perlu, dan ia tidak selari dengan nilai Islam yang menekankan keyakinan, rasionaliti dan keterbukaan.
Berdasarkan pendirian ini, kami menyambut baik penjelasan Menteri dan menyeru agar prinsip-prinsip yang digariskan dijadikan panduan bagi memastikan semua negeri melaksanakan peruntukan pensijilan halal tanpa tafsiran yang terlalu ketat atau melampaui maksud asalnya.
Kredibiliti sistem pensijilan halal bergantung kepada profesionalisme serta kejelasan garis pelaksanaannya, manakala asas keharmonian sosial terletak pada sikap saling menghormati dan komunikasi yang rasional.
Keseimbangan antara kedua-duanya penting untuk memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara yang berbilang, inklusif dan stabil.