Skip to content

JALAN TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI TANDA PENGHARGAAN LEGASI TUN ABDULLAH DI PULAU PINANG DAN BENDERA NEGERI DIKIBAR SEPARUH TIANG

Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada hari ini sebulat suara bersetuju menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan mengibarkan bendera negeri separuh tiang sebagai tanda penghormatan terakhir pada hari Jumaat (18 April 2025).

Cadangan dibawa oleh saya ini adalah amat siginifikan dalam menghargai jasa dan bakti Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah membawa impak pembangunan kepada negeri ini sepanjang perkhidmatan sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009.

Sebagai anak jati Pulau Pinang kelahiran Bayan Lepas, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang merupakan ‘hadiah’ terbesar Allahyarham Tun Abdullah kepada penduduk Pulau Mutiara apabila beliau mengumumkan projek itu dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) di Parlimen pada tahun 2003. Impaknya, jambatan kedua telah merancakkan pertumbuhan ekonomi antara Batu Maung (bahagian pulau) dan pembangunan Bandar Cassia di Batu Kawan sebagai zon perindustrian baharu khasnya.

Memegang gelaran sebagai bandar masa depan Pulau Pinang, Allahyarham Tun Abdullah telah menamakan Bandar Cassia pada 24 Ogos 2004, dan memperoleh kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui Pelan Induk Bandar Cassia pada 26 Oktober 2004. Penggunaan nama Bandar Cassia sebagai Bandar Baharu di Batu Kawan kemudiannya telah diluluskan oleh MMK pada 10 Ogos 2016. Justeru, Kerajaan Negeri ingin terus mengekalkan legasi Allahyarham Tun Abdullah dengan menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selain Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Bandar Cassia, Pulau Pinang turut menerima banyak manfaat di bawah pentadbiran Allahyarham Tun Abdullah, antaranya termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang pertama dengan peruntukan RM1 bilion; pembangunan Penang Sentral (RM2.7 bilion); Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

Pemergian Tun Abdullah merupakan suatu kehilangan besar kepada negara terutamanya negeri Pulau Pinang. Semoga semua jasa dan bakti yang telah dicurahkan beliau dalam membangunkan negara serta negeri ini akan sentiasa tersemat dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia dan juga Pulau Pinang.

Pengibaran bendera negeri separuh tiang itu dilaksanakan membabitkan semua premis kerajaan dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri. Malah, pemilik-pemilik premis bukan kerajaan juga diseru untuk berbuat demikian sebagai tanda penghormatan kepada Tun Abdullah.