Hantaran terkini Presiden MUDA, Syed Saddiq di media sosial X (dulu dikenali sebagai Twitter) jelas sekali berniat buruk dan celupar apabila bertindak melabelkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai ‘lapdog’ (anjing ribaan), hipokrit, gila kuasa dan tiada prinsip. Yang peliknya, yang menyalak tak tentu hala ini sibuk menggelar parti yang pernah menolongnya sebagai anjing ribaan.
Malahan, Syed Saddiq juga secara spesifik menyerang Pengerusi DAP Perak, Saudara Nga Kor Ming dengan panggilan ‘puppet’ (boneka) yang kononnya telah menyucikan seseorang yang korup; semata-mata kerana jawatan berstatus Menteri.
DAP, sebagai parti yang berprinsip dan rakan setia yang telah menyokong dan membantu Syed Saddiq dan partinya di puncak gunung mahupun jauh ke dalam lurah, parti yang telah dan masih memberi khidmat guaman dan solidariti tanpa belah bahagi kepada dia sewaktu dia sendiri dituduh dengan kes pecah amanah, harusnya Syed Saddiq lebih wajar bermuhasabah diri dan renung-renunglah cermin sekali sekala.
Syed Saddiq perlu berikan tumpuan dahulu terhadap kes mahkamah beliau sendiri. Dia tidak perlu kurang ajar dan bersifat kebudak-budakkan kepada mana-mana parti dek kerana isu tersebut hangat demi mengenyangkan kelaparan popularitinya.
Soalan yang perlu Syed Saddiq jawab juga adalah sekiranya kes pecah amanah dia sendiri juga turut diberi DNAA? Adakah parti dia sendiri juga akan tergolong ‘lapdog’, hipokrit, gila kuasa dan tiada prinsip kerana mempunyai seorang presiden sebegitu rupa?
Sebagai pimpinan politik, sebagai Presiden parti sekutu di dalam Kerajaan Perpaduan, gelagat melatah seperti ini tidak membawa apa-apa nilai tambah kepada Parti MUDA. Politik gelar-menggelar ini terang-terangan suatu politik nafas lama (yang beliau sendiri kritik), jauh menyimpang daripada nilai-nilai politik baharu yang diperjuangkan MUDA.
DAP melalui Setiausaha Agung, Saudara Anthony Loke Siew Fook telah memberikan kenyataan yang jelas berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) 47 kes yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di mana DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah tetapi pada masa sama demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, menuntut penjelasan terbuka oleh Peguam Negara.
DAP juga menegaskan akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah.
Kenyataan dan pendirian DAP sentiasa memberi penegasan bahawa parti ini bukanlah ‘lapdog’, hipokrit, gila kuasa dan tiada prinsip seperti yang didakwa oleh Syed Saddiq dan MUDA.
Teguran oleh Saudara Nga Kor Ming juga bukanlah satu ‘penyucian orang korup’. Saudara Nga sebaliknya meminta Syed Saddiq untuk lebih profesional dan berbincang dengan pucuk pimpinan kerajaan perpaduan, bukannya membuat kenyataan melulu dan mengugut untuk menarik sokongan.
Malah, terpapar jelas di dada media sosial bahawa ahli parti MUDA sendiri merasakan tindakan beliau ini di luar tabiat. Ramai yang tidak sebulu sebenarnya. Ahli-ahli parti MUDA juga ramai yang menuntut Syed Saddiq memadamkan kenyataan tersebut dan meminta maaf.
Kendatipun begitu, gendang perang nampaknya sudah dipalu. Keceluparan dan penghinaan yang dilontarkan ini ibarat sudah membakar semua jambatan yang ada. Syed Saddiq dan parti MUDA kini ibarat api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan parasit dalam Kerajaan Perpaduan.
Mungkin sudah tiba masanya Syed Saddiq dan parti MUDA membuat ketetapan yang tegas dan tidak lagi bermain tarik tali. Gagahkan diri; umum sahaja menarik diri dari kem Kerajaan Perpaduan supaya boleh dipindahkan satu kerusi dalam Dewan Rakyat ke belah Pembangkang.
Saya yakin dengan penarikan sokongan dan hilangnya MUDA dari dalam Kerajaan Perpaduan, kita akan lebih mudah fokus. Tugasan kita dalam membina negara dan menjaga kebajikan rakyat akan lebih senang kerana tidak ada lagi keperluan untuk melayan kerenah ‘kebudak-budakan’ sesetengah individu dan parti.