Skip to content

Jangan gadaikan bumi Johor untuk loji nuclear berbahaya

Kerajaan negeri Johor didesak menolak sebarang kemungkinan usaha Kerajaan Persekutuan untuk menempatkan loji janakuasa nuklear di bumi Johor. Isu pembinaan loji janakuasa nuklear harus dipandang serius kerana sekarang ini projek tersebut telah memasuki ke peringkat akhir perancangan. Keselamatan 3 juta rakyat Johor dan kelestarian alam sekitar terdedah kepada risiko tinggi sekiranya Menteri Besar tidak bertindak tegas sekarang.

Perkembangan di Parlimen Malaysia

Menurut jawapan rasmi oleh Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini [1], Kajian Perundangan dan Kawalseliaan Tenaga Nuklear telah siap pada akhir tahun 2013. Hasilnya adalah draf Rang Undang-Undang Kawalseliaan Tenaga Atom untuk menggantikan Akta Pelesenan Tenaga Atom (Akta 304) 1984. Rang Undang-Undang ini dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Pada masa yang sama, Kajian Kebolehlaksanaan (Feasibility Study) dan penyediaan Pelan Pembangunan lnfrastruktur Kuasa Nuklear (Nuclear Power Infrastructure Development Plan – NPIDP) dijadualkan siap pada tahun 2015. Walaupun lokasi tapak yang sesuai belum dikenalpasti, tetapi langkah-langkah persiapan lain telah dilaksanakan.

Pertanyaan Penting Tentang Nuklear Ditolak di DUN Johor

Berbanding dengan prosiding Parlimen, jawapan Dewan Undangan Negeri Johor sangat mengecewakan. Soalan Tan Hong Pin yang dikemukakan secara bertulis kepada DUN Johor tidak dibalas.

Soalan adalah seperti yang berikut :

Susulan daripada rancangan Kerajaan Persekutuan untuk membina loji janakuasa nuklear di Semenanjung Malaysia sebelum tahun 2020, adakah kerajaan negeri Johor menyambut baik projek tersebut dan di daerah dan mukim manakah terletaknya tapak projek loji itu?

Soalan tersebut adalah jelas dan penting untuk Kerajaan Negeri menjelaskan dasar mereka kepada rakyat melalui Dewan Undang Negeri.

Malangnya, soalan ini ditolak oleh Dewan. Alasan yang diberi adalah Peraturan Tetap Bilangan 25(6), Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Johor yang membawa maksud :

“ Apabila sesuatu soal yang didatangkan itu adalah merujukkan kepada sesuatu perkara yang di dalam jagaan Kerajaan Persekutuan atau sebarang Jabatan Persekutuan mengikut kuatkuasa Perlembagaan Persekutuan maka Speaker boleh enggan membenarkan soal yang tersebut itu atau jika pada fikirannya bahawa soal itu adalah mengenai satu perkara yang banyak bersangkut-paut dengan faedah tempatan maka bolehlah ia memerintahkan supaya soal itu dirujukkan kepada Kerajaan Persekutuan dan jawapannya dibentangkan di dalam mesyuarat Dewan Negeri yang akan datang.”

Penolakan ini adalah tidak munasabah kerana soalan yang dikemukakan itu adalah berkait rapat dengan pendirian Kerajaan Negeri dan ianya melibatkan penggunaan tanah yang merupakan bidang kuasa Kerajaan Negeri mengikut Jadual Kesembilan Jadual Perundangan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini tidak mempersoalkan butiran teknikal tentang pembinaan loji janakuasa nuklear tetapi hanya mempersoalkan pendirian Kerajaan Negeri dalam tebus guna tanah yang menjadi tapak pembinaan tersebut. Saya mendesak supaya pihak Kerajaan Negeri dapat menolak sebarang cadangan atau percubaan Kerajaan Persekutuan untuk membina sebarang loji janakuasa di mana-mana pelosok negeri Johor, mencontohi langkah berani yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor seawal tahun 2010.

Pembinaan loji janakuasa nuklear akan membawa impak yang besar terhadap kelestarian alam sekitar dan lebih penting, keselamatan rakyat Johor secara keseluruhannya. Pada masa yang sama, operasi loji janakuasa mempunyai risiko yang tinggi dan perlu diberikan perhatian. Kita harus mempelajari pengajaran daripada kemalangan nuklear Fukushima pada bulan Mac 2011.

Akhir kata, kami mendesak Kerajaan Negeri Johor mengambil pendirian yang tegas dalam menolak sebarang cadangan atau percubaan Kerajaan Persekutuan untuk membina loji janakuasa nuklear di negeri Johor.


Rujukan :

  1. Jawapan-jawapan Pertanyaan Jawab Lisan Harian Yang Tidak Dapat Dijawab Dalam Dewan Rakyat, bertarikh:
  2. i. Oktober 8, 2014 (Soalan 38, Ahli Parlimen Rasah, YB Teoh Kok Seong);
    ii. Oktober 28, 2014 (Soalan 36, Ahli Parlimen Klang, YB Charles Santiago); dan
    iii. November 13, 2014 (Soalan 48, Ahli Parlimen Kluang, YB Liew Chin Tong)

  3. Pulau Pinang tolak pembinaan loji nuklear, 20 Dis 2010, http://www.malaysiakini.com/news/151282
  4. Selangor tak sokong bina loji janakuasa nuklear, 5 Mei 2010, http://www.malaysiakini.com/news/131042