Menurut laporan berita, tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar universiti di peringkat sarjana muda dan bursari untuk pelajar program pra-universiti bagi tahun 2016 akan digantung akibat pengurangan pendapatan negara.
Keputusan Kabinet yang dikatakan akan memberi kesan kepada seramai 700 pelajar dalam dan luar negara ini langsung tidak boleh diterima dan amat mendukacitakan. Jika benar bahawa kekangan kewangan merupakan alasan utama bagi keputusan ini, maka ia sebenarnya membuktikan kegagalan kepimpinan Dato’ Sri Najib Razak untuk menguruskan ekonomi dan kewangan negara dengan baik.
Meskipun kita tidak menafikan faktor-faktor luaran seperti kejatuhan harga minyak dunia, kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan kelembapan ekonomi China sebagai sebab-sebab permasalahan ekonomi yang dihadapi negara kita, namun pelbagai pakar ekonomi termasuk Bank Negara sendiri pernah mengenalpasti skandal wang derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri serta hutang 1MDB yang masih tidak selesai dengan sepenuhnya sebagai antara punca kehilangan keyakinan pelabur dalam negara kita, lantas menyumbang kepada kejatuhan ketara nilai matawang ringgit. Adakah ini yang diuar-uarkan sebagai “Najibnomics?”
Justeru, daripada memangsakan mahasiswa dan mahasiswi kita, kerajaan seharusnya terlebih dahulu mengatasi segala ketirisan dan salah tadbir yang merugikan negara kita.
Sebagaimana yang dinyatakan dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2016 yang dibentangkan pada bulan Oktober tahun lepas, kerajaan dijangka dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM30 bilion melalui pelan penyusunan semula dan langkah-langkah pembasmian rasuah.
Antara langkah-langkah yang disyorkan adalah pemotongan peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang kian melampau serta pemansuhan program yang tidak diperlukan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas, Biro Tatanegara, TalentCorp dan Program Latihan Khidmat Negara. Tambahan pula, bilangan menteri-menteri yang berjumlah hampir 70 orang juga harus dikurangkan dan dirasionalisasikan.
Pada masa yang sama, berbilion-bilion ringgit lagi wang kerajaan dapat dijimat melalui pelaksanaan dasar tender terbuka bagi semua perbekalan dan pemerolehan kerajaan, di samping menghentikan semua amalan penyelewengan dan rasuah sepertimana yang sering dibongkarkan.
Hakikatnya, jumlah wang yang diperuntukkan bagi biasiswa JPA dalam Belanjawan 2016 adalah tidak banyak – hanya RM1.65 bilion, itu pun setelah dikurangkan daripada RM1.93 bilion bagi tahun 2015. Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20.3 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM), masakan dana tidak boleh disalurkan daripada JPM bagi membiayai biasiswa JPA? Lagipun, Najib telah membuktikan betapa senangnya beliau boleh memperolehi wang derma sebanyak RM2.6 bilion.
Sepatutnya, peruntukan biasiswa JPA ditingkatkan lagi dan bukannya digantungkan. Sudahlah peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi mengalami pemotongan sebanyak RM2.4 bilion untuk tahun 2016, kini beratus-ratus pelajar cemerlang akan hilang peluang mereka untuk belajar di universiti terpilih.
Maka, saya dengan ini menyeru agar peruntukan kritikal seperti tajaan pendidikan ini tidak diusik oleh kerajaan dalam usaha penjimatan. Sebaliknya, kerajaan sepatutnya menangani segala ketirisan, rasuah dan salah tadbir terlebih dahulu. Jika pengurangan perbelanjaan diperlukan sekalipun, biarlah dipotong program-program yang tidak membuahkan hasil daripada mengorbankan masa depan modal insan negara.