Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, statistik terkini COVID-19 di Malaysia setakat 30 Mac 2020, jam 5 petang, jumlah kes keseluruhan adalah 2,626 orang dengan 37 kematian. Hari ini juga merupakan hari ke-14 pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.
Sebagai usaha menjaga kebajikan penduduk Pasir Gudang, pada 26 Mac 2020, saya telah mempengerusikan satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Pasir Gudang yang diadakan secara atas talian (virtual meeting).
Hasil perbincangan tersebut, ALPA telah sebulat suara sebulat suara meluluskan sebanyak 2,000 set sumbangan barang keperluan asas untuk disampaikan kepada warga Pasir Gudang yang kurang berkemampuan iaitu 1,000 set untuk fasa 1 dan bakinya untuk fasa 2. Susulan itu, Yayasan Pasir Gudang telah memaparkan berita ini dalam laman Facebook mereka dengan cara pemohonan supaya proses pendaftaran adalah lebih telus.
Namun, saya dimaklumkan terdapat sekatan dalam proses pengagihan sumbangan barangan ini kerana senarai penerima yang dikumpulkan perlu kelulusan daripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor dan Pejabat Daerah . Saya harap kerajaan negeri dapat bantu menyegerakan kelulusan supaya sumbangan dapat diberikan kepada penerima dengan cepat.
Saya telah dimaklumkan bahawa sumbangan Yayasan Pasir Gudang yang telah saya luluskan tersebut akan disampaikan oleh UMNO Pasir Gudang. Saya turut berasa sedih melihat ini berlaku kerana UMNO telah mengambil kesempatan kebajikan rakyat untuk mainkan isu politik dan telah menjejaskan jalan kerja kakitangan Yayasan Pasir Gudang.
Walau bagaimanapun, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua kakitangan dan anggota Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Yayasan Pasir Gudang yang sudah bertungkus lumus berkhidmat dan mengedarkan sebanyak 200 bungkusan sumbangan setakat ini dalam tempoh arahan PKP.
Nasihat saya kepada UMNO Bahagian Pasir Gudang, hentikan mainan isu politik pada tempoh yang amat mencabar bagi seluruh rakyat negara dan negeri Johor yang sedang berperang dengan wabak COVID-19.
Ini bukan masa sesuai untuk berpolitik. Kebajikan rakyat perlu sentiasa diutamakan.