Skip to content

Jangan sengaja bangkitkan isu ketegangan kaum demi modal politik

Walaupun Pilihanraya Umum Ke-15 bagi Kawasan Parlimen telah pun selesai dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan sepertimana yang dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong, namun bahang politik tidak reda kerana 6 buah negeri (Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu) masih belum selesai PRU DUN negeri tersebut yang dijangka dibubarkan sebelum Julai 2023.

Maka muncullah watak-watak pelampau Agama yang sengaja memainkan api perkauman untuk kemenangan dan mahu meraih sokongan kaum Melayu di negeri-negeri ini.

PAS dengan teknik helah di sosial media (Tiktok) memainkan isu perkauman berkenaan sebuah pusat beli belah di Pulau Pinang yang mempamerkan jualan arak untuk sambutan Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi.

Fawwaz Mohamad (Ahli Parlimen Permatang Pauh) dari PAS dengan sengaja menaikkan ketegangan kaum apabila membuat video pendek kononnya menghantar memorandum kepada bahagian pengurusan pusat beli belah tersebut supaya tidak membuat pameran arak secara terbuka kerana kononnya tidak menghormati sensitiviti umat Islam di Pulau Pinang.

Sebagai umat Islam, adakah iman pemimpin PAS begitu lemah sehingga lihat sahaja penjualan arak terus boleh terpesong? Jelas sekali, promosi jualan tersebut adalah kepada kaum bukan Islam. Penjualan juga di dalam kompaun persendirian. Bukan di tempat awam, taman rekreasi awam atau tepi-tepi jalan. Tidak pula pihak penjual pamerkan apa-apa tulisan atau mesej yang mengelirukan umat Islam di Pulau Pinang untuk membeli arak tersebut.

Walaupun sasaran utama pengundi oleh Perikatan Nasional hanya tumpu pada undi kaum Melayu, namun janganlah menggunakan Islam untuk menghalalkan cara yang salah.