Skip to content

Jangan umum pakej rangsangan kosmetik tetapi harus terdiri daripada moratorium automatik pinjaman bank dengan pengecualian faedah dan suntikan dana minimum RM 45 bilion untuk mengimbangi jangkaan kerugian ekonomi RM170 billion yang ditanggung daripada PKP “total lockdown”

Kerajaan PN akhirnya tunduk kepada tekanan dari rakyat dan Ahli Parlimen pembangkang, dengan pengumuman Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengenai moratorium pinjaman bank dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui kemudahan i-Sinar. Walau bagaimanapun, pakej rangsangan ekonomi ke-8 yang akan diumumkan minggu depan, tidak boleh bersifat kosmetik tetapi harus merangkumi moratorium automatik pinjaman bank dengan pengecualian faedah sehingga akhir tahun, dan suntikan dana minimum RM45 bilion untuk mengimbangi jangkaan kerugian ekonomi sebanyak RM170 bilion yang ditanggung daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) “Total Lockdown” sekarang.

Kerajaan PN enggan mengakui PKP “Total Lockdown” sekarang akan mendatangkan kerugian kepada ekonomi sebanyak RM170 bilion dan setakat mengatakan bahawa negara akan kerugian RM1 bilion setiap hari. Walaupun dengan anggaran rendah kerugian ekonomi harian bernilai RM1 bilion ini, jumlah ini akan melebihi RM45 bilion tidak lama lagi dengan jangkaan lanjutan “Total Lockdown” sekarang selepas 28 Jun.

Salah satu sebab utama 7 pakej rangsangan ekonomi sebelum ini berjumlah RM380 bilion, yang diperkenalkan sejak tahun lalu oleh PN untuk mengimbangi kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19, gagal untuk memberi sebarang kesan adalah disebabkan oleh jumlah dana langsung yang tidak mencukupi. Daripada RM380 bilion itu, suntikan fiskal langsung dianggarkan hanya RM77.6 bilion, sangat tidak mencukupi untuk menangani kerugian ekonomi beratus-ratus bilion ringgit sejak “Total Lockdown” pertama PKP1.0.

Kerajaan telah menolak untuk memberikan moratorium automatik pinjaman bank, kecuali kumpulan 20 Teratas, yang akan memberi manfaat kepada 8 juta syarikat dan rakyat Malaysia. PH telah mencadangkan moratorium automatik pinjaman hingga akhir tahun, kecuali kumpulan 20 Teratas, dan suntikan bantuan kewangan sebanyak RM45 bilion secepat mungkin untuk menyelamatkan pekerjaan, mata pencarian ekonomi, dan perniagaan. Dari RM45 bilion ini, sekurang-kurangnya RM35 bilion harus diperuntukkan untuk membantu perniagaan yang sedang bergelut dengan masalah, terutamanya hampir 1 juta PKS yang merupakan 98.5% daripada jumlah perniagaan di Malaysia dan menyumbang 39% kepada KDNK negara kita pada tahun 2019.

Bank Dunia telah melaporkan bahawa purata syarikat Malaysia tidak bersedia untuk menghadapi krisis seperti COVID-19 dibandingkan dengan rakan serantau mereka, dengan kekurangan aliran tunai tersedia pada tahap 4.9 bulan, yang lebih rendah daripada Indonesia – 9.5 bulan dan Vietnam – 5.9 bulan. Bank Dunia juga menyatakan bahawa, 60% syarikat mempunyai tunggakan atau berisiko menghadapi tunggakan dalam enam bulan akan datang.

Inilah sebabnya moratorium automatik pinjaman bank dengan pengecualian faedah sehingga akhir tahun sangat diperlukan. Industri perbankan sudah pasti mampu menyediakan moratorium dengan pengecualian faedah ini setelah mencatat keuntungan selepas cukai yang sihat sebanyak RM32.3 bilion pada tahun 2019, RM23 bilion pada tahun 2020 dan juga pada suku pertama tahun ini.

Satu tinjauan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 4 Jun mengatakan lebih daripada 90% perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berisiko ditutup, dengan 54% mengatakan mereka hanya dapat bertahan tiga hingga enam bulan dan 72% menjangkakan akan mengalami kerugian. Persatuan PKS Malaysia mendedahkan bahawa 100,000 PKS telah ditutup tahun lalu dan 50,000 lagi dijangka mengalami nasib yang sama akibat daripada “Total Lockdown” sekarang.

Kerajaan PN perlu segera memberikan bantuan kewangan sebanyak RM35 bilion dalam bentuk subsidi sewa, upah dan utiliti; insentif pengambilan pekerja dan upah bagi mewujudkan pekerjaan baru dan juga geran perniagaan. Meningkatkan bayaran bulanan bantuan kebajikan masyarakat kepada RM1,000 bagi golongan B40 dan penganggur yang menelan belanja sebanyak RM6 bilion sehingga akhir tahun ini, boleh menjadi jaringan keselamatan sosial yang dapat melindungi penganggur dan pekerja yang menghadapi masalah aliran tunai. Dana tambahan sebanyak RM4 bilion diperlukan untuk membantu pengambilan lebih banyak doktor dan jururawat serta memperkasakan sistem sokongan kesihatan untuk memerangi COVID-19 dan meningkatkan vaksinasi.

Dalam perkara ini, DAP menyokong kerisauan Persatuan Perubatan Malaysia mengenai cadangan kerajaan untuk menempatkan graduan baharu perubatan bagi penempatan tetap di Kementerian Kesihatan yang nampaknya mendiskriminasi golongan bukan Bumiputera. Bagi memenangi pertempuran melawan COVID-19, usaha keseluruhan masyarakat diperlukan dengan menggerakkan semua pekerja kesihatan terlatih tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang sosio-ekonomi.

Oleh kerana Kerajaan PN mengakui bahawa COVID-19 sudah menjadi endemik dan tidak akan hilang walaupun setelah imuniti kelompok dicapai, negara ini memerlukan lebih banyak doktor, jururawat dan pekerja kesihatan yang terlatih. Tambahan dana RM4 bilion akan membolehkan semua tenaga kerja diperlukan ini diambil bekerja. Pada waktu seluruh negara perlu bersatu untuk memenangi pertempuran melawan COVID-19, memperkenalkan retorik kaum dan agama yang memecahbelahkan dan toksik hanya akan membahayakan usaha menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.