Skip to content

Janganlah jadi ahli politik tin kosong yang hanya mencari perbalahan dan persengketaan dalam masyarakat majmuk.

Kita semua mengakui bahawa Bendera Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan, dan identiti negara kita yang berdaulat.

Setelah isu Jalur Gemilang terbalik berlaku, pihak sekolah telah menyedari kesilapan dan memohon maaf secara terbuka. Kesilapan ini didapati dilakukan oleh seorang pekerja sekolah yang merupakan individu berkeperluan khas atau orang kurang upaya intelektual (OKU).

Padahal pegawai pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Himpunan TMT yang dilancarkan oleh PAS Terengganu juga pernah membuat kesilapan dengan menunjukkan Jalur Gemilang yang salah dan telah memohon maaf.

Memandangkan pihak sekolah kini telah memohon maaf, sama seperti pihak KPM dan penganjur himpunan TMT sebelum ini, kenapa sesetengah ahli politik yang seharusnya menjadi pemimpin masyarakat yang berwibawa masih berlagak hero dan mengapi-apikan kebencian?

Secara umumnya setiap agama sentiasa mengajar penganutnya erti kasih sayang dan pengampunan. Segala kebencian dalam masyarkat harus dileraikan dengan nilai rahmah dan kasih sayang. Kita perlukan pemimpin masyarakat termasuk ahli politik yang menjadi teladan, bukan duri dalam daging yang menjadi agen perosak keharmonian dan perpaduan.

Hakikatnya tiada manusia yang sempurna. Adakah sesetengah ahli politik yang suka berlagak hero itu merasakan dirinya begitu sempurna?

Hulurkan kemaafan, elakkan berdendam. Kita perlu ahli politik yang matang dan profesional, bukannnya tin kosong yang berlagak hero dan tidak berhenti mencetus kebencian dalam masyarakat.