Satu lawatan kerja dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke SJKT Batangkali pada hari Rabu yang lepas. Apakah tujuan sebenar lawatan tersebut? Adakah untuk melihat dan membantu sekolah tersebut atau satu sandiwara politik untuk memancing undi?
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Kamalanathan pernah menjanjikan bangunan 4 tingkat bagi SJKT Batangkali yang terletak di kawasan Parlimen beliau. Sehingga hari ini, tidak nampak apa-apa hasil usaha beliau untuk membina bangunan baru 4 tingkat itu. Malah, beliau terus memberi harapan kosong kepada penduduk Hulu Selangor yang memilihnya sebagai wakil rakyat mereka.
Ketika dahulu, sekolah ini hanya mempunyai lebih kurang 100 orang murid sahaja. Hari ini, jumlahnya telah meningkat kepada 350 orang murid. Keadaan sekolah tidak dapat menampung pertambahan murid ini. Dijangka jumlah murid akan mencecah 500 orang dalam tempoh 5 tahun lagi. Ini adalah disebabkan oleh minat ibubapa dan pertambahan kawasan-kawasan kediaman di sekitarnya.
Datuk Seri Najib Tun Razak tidak diberi peluang untuk berinteraksi dengan penduduk Batangkali dalam lawatan kerja itu. Malah, pihak PIBG juga tidak dapat ruangan untuk meluahkan hasrat mereka meminta kerajaan membina bangunan 4 tingkat dengan segera.
Yang lebih menyedihkan lagi ialah wayang kulit yang diatur untuk melancarkan Kelas Abad 21 projek YTL. Kelas itu disiapkan sehari sebelum lawatan Perdana Menteri ke sekolah itu. Sebaik sahaja tamat lawatan, semua kelengkapan telah diambil balik dan kelas itu kekal sebagai bilik darjah biasa. Gimik ini untuk menipu siapa? Pengundi atau Perdana Menteri?
Saya mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan janjinya dengan segera. Pengundi Hulu Selangor tidak akan teragak-agak untuk memilih calon Pakatan Harapan dalam PRU14 jika permintaan mereka tidak ditunaikan.