Perdana Menteri Dato Seri Najib telah mengumumkan dalam ucapan belanjawan 2018 bahawa kerajaan akan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dengan peruntukan sebanyak RM27 bilion pada tahun 2018. Di antara perkara-perkara yang lain, beliau telah berjanji:
- Sejumlah RM 2.5 bilion untuk bekalan perubatan, dan
- Hospital dan wad baru (jumlah kapasiti 1,100 katil bernilai RM2 bilion):
a. RM1 bilion untuk dua blok wanita dan kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital Putrajaya dengan kapasiti 300 katil setiap satu,
b. RM 500 juta untuk sebuah hospital kanser di Sungai Petani dengan kapasiti 200 katil, dan
c. RM 500 juta untuk blok baru di Hospital Pulau Pinang dengan kapasiti 300 katil.
Walau bagaimanapun, penelitian rapi bajet yang dibentangkan menampakkan beberapa kepincangan:
- Bajet untuk Farmasi dan Bekalan (012200 Farmasi dan Bekalan, halaman 372) menunjukkan peruntukan telah dikurangkan daripada RM1,292,761,700 pada tahun 2017 kepada RM1,227,710,200 pada tahun 2018. Ini adalah pengurangan sebanyak RM65 juta untuk membeli ubat untuk pesakit. Pada tahun 2016, peruntukannya lebih tinggi pada RM 1,595,601,600!, dan
- Peruntukan untuk Hospital Baru (00400 Hospital Baharu, halaman 377) telah dikurangkan daripada RM210,221,849 dalam tahun 2017 kepada RM179,900,200 pada tahun 2018. Ini pula adalah pengurangan sebanyak RM30 juta daripada tahun sebelumnya dan mungkin hanya mencukupi untuk 100 buah katil hospital baru.
Seperti yang kita ketahui, hospital dan klinik kerajaan di Malaysia dijangka menerima kunjungan daripada bilangan pesakit yang kian bertambah.
- Bilangan penduduk dijangka meningkat sebanyak 1.32% (lebih daripada 400,000 orang) kepada lebih daripada 32 juta pada tahun hadapan. Kita memerlukan 800 katil hospital baru untuk menepati nisbah 2 katil bagi setiap 1000 orang penduduk. Kos 800 katil hospital yang baru pula akan melebihi RM800 juta!
- Kita juga akan berdepan populasi menua yang semakin meningkat. Ini membawa implikasi semakin meningkat bilangan kes masalah kesihatan, dan
- Selain itu, kelembabpan ekonomi juga mengakibatkan kejatuhan di antara 20% hingga 30% dalam perniagaan hospital swasta. Pesakit-pesakit ini sebaliknya akan menerima rawatan hospital kerajaan.
Tamparan tiga serangkai di atas ini akan menyebabkan perkhidmatan di hospital kerajaan yang masa ini pun sudah genting berhadapan risiko keruntuhan. Kita perlu menambah peruntukan untuk bekalan ubat dan hospital baru untuk mengekalkan kualiti penjagaan yang sama; bukan mengurangkan peruntukan dan mengharapkan penjagaan kesihatan yang berkualiti datang begitu sahaja. Hakikatnya, kita hanya boleh melihat penambahan bilangan pesakit di hospital kerajaan dan kualiti penjagaan kesihatan yang menurun pada tahun 2018.
Sudah tiba masanya rakyat melihat retorik kosong Perdana Menteri Dato’ Seri Najib. Kita hanya boleh memperbaiki perkhidmatan kesihatan dengan memerangi rasuah dan meningkatkan prestasi ekonomi untuk menjana dana bagi ubat dan hospital baru.