Skip to content

Jawab di Parlimen kalau berani

Dalam Ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Persidangan Agung ke 63 MyPPP, beliau menuduh pihak pembangkang hanya mengelirukan rakyat. Kononnya, pihak pembangkang tidak ada fakta yang sebenar.

Saya rasa pelik dengan tuduhan beliau yang tidak berasas itu. Apakah yang dikelirukan oleh pembangkang? Mengenai skandal terbesar di dunia 1MDB?

Kalau pembangkang mengelirukan rakyat, adalah tanggungjawab Perdana Menteri dan kerajaan untuk menjelaskan keadaan yang sebenar supaya rakyat tidak lagi keliru. Saya dan seluruh rakyat negara kita mendesak Perdana Menteri untuk memberitahu mengenai 2 perkara berikut di Dewan Rakyat. Kedua-dua isu ini adalah sangat penting kerana seluruh rakyat Malaysia berasa amat keliru.

  1. Isu skandal 1MDB. Beritahu dari mana datangnya wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya? Kemudian, ke manakah perginya wang tersebut? Adakah Perdana Menteri masih mahu mempertahankan cerita dongeng derma Arab?
  2. Isu Pembunuhan Altantuya. Orang-orang yang membunuh Altantuya telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Tetapi, mereka ini sebenarnya tidak ada apa-apa motif dan hubungan dengan Altantuya. Jadi, siapakah yang sebenarnya di belakang tirai mengokestrakan pembunuhan kejam Altantuya?

Beranikah Perdana Menteri mengadakan persidang khas Dewan Rakyat untuk membahaskan kedua-dua isu ini? Tentu sekali beliau tidak berani untuk berdepan dengan barisan pembangkang di Dewan Rakyat. Beliau hanya pandai berhujah di hadapan tin-tin kosong. Tetapi, tidak berani bertikam lidah dengan ahli-ahli pembangkang di Dewan Rakyat.

Perdana menteri mengelirukan rakyat dengan hujah yang menuduh ‘pembangkang mengelirukan rakyat’. Sebenarnya beliaulah memperbodohkan rakyat dan ahli-ahli parti komponennya sendiri.