Mesyuarat Lembaga Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bil 5/2022 bertarikh 28 Oktober 2022 telah memutuskan untuk UMECH Construction Sdn. Bhd. (UMECH) membentangkan secara terperinci berkaitan konsep pembangunan kepada Ahli Lembaga menerusi mesyuarat khas bertarikh 28 November 2022.
Justeru, satu sesi pembentangan telah dijadualkan pada 28 November 2022 yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri, Tuan Chow Kon Yeow dan disertai bersama mantan Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman, mantan Timbalan Ketua Menteri 2, YB Prof. Dr. P. Ramasamy a/l Palanisamy, YB Dato’ Haji Abdul Halim Hussain dan Yang Berbahagia Dato’ Seri Lee Kah Choon.
UMECH telah membentangkan cadangan projek usaha sama berkaitan.
Mesyuarat dan pembentangan oleh UMECH adalah sebagai sebahagian daripada “due diligence” yang dilaksanakan oleh PDC selaras dengan keputusan Mesyuarat Lembaga.
Hasil daripada mesyuarat tersebut, pihak UMECH dikehendaki menyediakan:
- Menjalankan kajian pasaran dan mengkaji komposisi guna tanah yang dicadangkan agar tidak bersaing dengan kawasan pembangunan PDC dan saling melengkapi;
- UMECH perlu berhubung dan mendapatkan input daripada Invest Penang dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi membincangkan perkara (i);
- UMECH hendaklah memperincikan status sumber kewangan kepada PDC.
Di samping itu, PDC hendaklah:
- Jelas tentang peranan utama dalam pembangunan yang dirancang ini; dan
- Memuktamadkan lain-lain syarat usahasama pembangunan.
“Due diligence” telah dilaksanakan secara berterusan yang mana berdasarkan ulasan yang diputuskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Kecil di atas, PDC turut melaksanakan carian rasmi pendaftaran syarikat, profil syarikat, pengalaman dan UMECH perlu mengemukakan surat sokongan fasiliti kredit oleh institusi kewangan sebagai salah satu bukti kekuatan kewangan syarikat. Ahli Lembaga Pengarah (BOD) telah bermesyuarat untuk berbincang dan mendapatkan maklumat terkini secara berterusan pada tarikh-tarikh 19 Ogos 2022, 28 Oktober 2022, 8 Disember 2022, 9 Februari 2023 dan 11 April 2023 untuk berbincang dan mendapatkan status terkini projek berkaitan.
Semua maklumat yang dikenal pasti dan diperlukan ini telah dibawa ke Mesyuarat Lembaga PDC bil 1/2023 bertarikh 09 Februari 2023. Mesyuarat Lembaga PDC telah meluluskan penjualan tanah secara usaha sama bersama pihak UMECH secara prinsip dengan semua syarat-syarat yang dibentangkan di dalam mesyuarat yang sama.