Penolakan sebulat suara oleh 105 Ahli Parlimen blok pembangkang terhadap tawaran Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin mengenai beberapa “reformasi institusi” yang sudah lama dikehendaki oleh pembangkang sebagai pertukaran sokongan di Parlimen untuk kekal sebagai Perdana Menteri, bukan hanya kerana keikhlasan, sikap dan keadaan dipertikaikan. Ini juga mengenai masa seputar tawaran yang dibuat oleh seorang Perdana Menteri yang telah kehilangan keabsahan politik dan majoriti parlimennya yang rela menggunakan apa jua cara untuk kekal berkuasa.
Bagaimana sebuah kerajaan yang telah gagal dalam menangani wabak COVID-19 dan kemudiannya kemelesetan ekonomi sehingga Malaysia semakin dilihat sebagai kerajaan yang gagal masih boleh meminta diberi peluang kedua? Seperti yang dikatakan oleh Albert Einstein, “Kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza”.
Bagi mereka yang pada awalnya tertarik dengan tawaran reformasi yang dijanjikan, mereka tidak boleh dipersalahkan kerana berpegang pada pemikiran “matlamat menghalalkan cara”, tanpa peduli siapa yang mengemukakannya. Mereka tidak salah dalam mengejar reformasi institusi secara idealistik. Namun, kita berhadapan dengan seorang Perdana Menteri yang memiliki rekod sejarah melakukan yang sebaliknya apabila “matlamat menghalalkan cara”, dalam perkara ini untuk kekal menjadi Perdana Menteri tanpa mengira betapa mahal harganya.
Reformasi institusi bukanlah permainan politik, perlu ada komitmen yang ikhlas dan bahkan pengorbanan, barulah kita dapat membawa kemajuan yang bermakna. Berdasarkan rekod Perdana Menteri dalam pengkhianatan politik dan komposisi Kabinet konservatifnya yang secara konsisten menentang reformasi dalam sebarang bentuk, ada keraguan yang munasabah sama ada Mahiaddin akan melaksanakan reformasi yang dijanjikannya apabila adalah jelas ia merupakan suatu percaturan kuasa atau strategi untuk survival.
Walaupun ramai yang menjangkakan Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin tidak mempunyai pilihan selain untuk meletakkan jawatan, sehingga menimbulkan kemungkinan Parlimen akan dibubarkan, DAP menolak pilihan raya umum kerana rekod tertinggi kes jangkitan COVID-19 dan angka kematian yang menghampiri 12,000. DAP mengulangi komitmen kami untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian dengan menumpukan kepada usaha memerangi pandemik COVID-19, perlunya Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) yang lancar dan pantas untuk mencapai imuniti kelompok dengan suntikan vaksin dan bukannya jangkitan, dan bantuan kewangan secara langsung untuk mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan masa kini.
DAP berpegang teguh kepada pilihan kami untuk calon Perdana Menteri berdasarkan kepada mandat PH. Jawatan Perdana Menteri bukan milik satu orang sahaja tetapi kelayakan perlu berdasarkan potensi kemampuan dan kapasiti untuk mengatasi pandemik covid-19, kemelesetan ekonomi dan komitmen terhadap reformasi institusi bagi mengembalikan Malaysia sebagai negara yang sedang berkembang maju.
Dengan kata lain, ketaksuban atau obsesi semua pihak tidak sepatutnya dengan siapa menjadi Perdana Menteri tetapi apa bentuk Pelan “Reset” COVID-19 untuk membetulkan kegagalan kerajaan sekarang dan rancangan normalisasi ekonomi untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul serta menunjukkan bahawa kita boleh melakukan lebih banyak lagi reformasi institusi daripada apa yang ditawarkan oleh Mahiaddin.