Sejumlah 17,000 bangunan daripada pelbagai kumpulan maksud kegunaan disasar akan diperiksa pada tahun 2024.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menetapkan sasaran tersebut sebagai salah satu langkah proaktif bagi meningkatkan tahap ketersediaan sistem pemasangan keselamatan dalam bangunan di negara ini.
Selain itu, katanya ianya menunjukkan usaha pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkasakan program pencegahan kebakaran bagi mengurangkan kerugian kepada ekonomi negara.
“Bagi bulan Januari sahaja, sebanyak 4,027 inap desa atau homestay dan bilik penginapan, telah dibuat pemeriksaan penguatkuasaan bahaya kebakaran.
“Begitu juga pada bulan Februari lepas, sebanyak 122 blok di 22 kawasan perumahan awam yang sudah berusia lebih 30 tahun di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur turut diperiksa, ” tambah Nga Kor Ming.
Selain aspek kebakaran, Nga Kor Ming, berkata aspek pengurusan air juga memainkan peranan penting dalam memastikan kecekapan pengoperasi kebombaan.
“Oleh itu, sukacita pihak Kementerian ingin memaklumkan bahawa pihak JBPM telah berjaya memeriksa 405,529 pili bomba di seluruh negara. Pemeriksaan ini melebihi 100 peratus daripada jumlah keseluruhan pili bomba awam bagi tahun 2023, ” kata Nga Kor Ming.
Sehubungan itu, katanya, pada tahun ini pihak Kementerian melalui JBPM akan meningkatkan kekerapan pemeriksaan ke atas pili bomba awam yang berada dalam radius 7 kilometer daripada balai bomba.
Nga Kor Ming berkata, kini jumlah keseluruhan pili bomba yang telah direkodkan di seluruh negara pada tahun 2023 adalah sebanyak 422,472 unit, kira-kira 357,130 unit adalah pili bomba awam manakala 65,342 unit pili bomba swasta.
Di samping itu, katanya, pembangunan projek rintis Command, Control, Commmunication, Computerized and Inteligence telah dilaksanakan mulai pada 1 Mac 2024 dan dijangka siap pada Februari 2026 dengan kos RM47.74 juta.
Projek rintis ini katanya, bagi memperkukuhkan lagi sistem kawal dan perintah inisiden, dan mengaplikasikan penggunaan teknologi terkini, kecerdasan buatan serta mengoptimumkan data raya.
Nga Kor Ming berkata, projek perintis ini adalah salah satu langkah yang seiring dengan dasar dan usaha pendigitalan kerajaan MADANI.