Saya masih ingat September 1995 – yang merupakan tempoh yang gelap dalam sejarah DAP – apabila rakyat di Bagan bangkit dan memberikan demokrasi harapan baharu ketika mana proses demokrasi sedang menderita dan DAP sedang berhadapan dengan trauma selepas kekalahan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-9, dengan memberikan calon pilihan raya kecil DAP, Lim Hock Seng, kemenangan dengan majoriti 11,802 undi, 100 kali jumlah majoriti yang diraih DAP empat sebelum itu dalam Pilihan Raya Umum April 1995.
27 tahun kemudian, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022, rakyat Bagan sekali lagi bangkit dan mengundi Lim Guan Eng sebagai Ahli Parlimen Bagan dengan majoriti 55,797 undi – dengan tiga lagi calon lain dari MCA, Gerakan, dan Pejuang kehilangan deposit mereka.
Saya bukanlah seorang calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15, tetapi saya telah ke lapan negeri dan mencatatkan perjalanan kira-kira 15,000 kilometer dalam tempoh berkempen selama dua minggu. Ke mana-mana sahaja yang saya pergi, saya tidak melihat apa-apa sentimen anti Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan atau sentimen anti Islam, Buddha, Hindu, atau Kristian, mengesahkan yang rakyat Malaysia sebenarnya memang sebuah masyarakat yang bertoleransi dan sensitif.
Tetapi, dalam tempoh berkempen PRU-15 ini, terdapat parti-parti politik dan tokoh-tokoh yang mahu rakyat Malaysia untuk berfikiran yang orang Melayu dan orang Islam sedang terancam dan bakal terhapus.
Mengapakah begini? Siapakah yang mengancam orang Melayu atau ingin menghapuskan Islam?
Pulau Pinang telah berada di bawah kerajaan negeri pimpinan DAP untuk 14 tahun dari tahun 2008 sehingga 2022.
Saya menjemput mana-mana rakyat Malaysia, dari Perlis ke Johor, dan juga kepada mereka yang dari Sabah atau Sarawak, untuk memberikan satu contoh tindakan anti Melayu atau Islam yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP dari tahun 2008 sehingga tahun 2022 ini supaya ia dapat diperbetulkan.
Saya juga akan menanti jawapannya kerana saya juga ingin tahu sekiranya ada tindakan yang bersifat anti Melayu atau Islam oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP selama 14 tahun yang lepas ini.