Menteri Pertanian Ireland, Dara Calleary, meletak jawatan semalam kerana mengingkari protokol keselamatan Covid-19 hanya dua hari selepas menghadiri majlis malam kelab golf Parlimen Ireland pada 19 Ogos yang mana para tetamu tidak memakai pelitup muka, bersalaman dan duduk 10 orang dalam satu meja. Di Malaysia pula, ada seorang Menteri Komoditi, Pertanian dan Industri, YB Khairuddin Aman Razali yang enggan mengakui kesalahan beliau tidak mematuhi protokol keselamatan Covid-19 untuk dikuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki bulan lepas.
Khairuddin bukan sahaja enggan mengaku salah malah tindakan beliau yang mengelak dan menolak tanggungjawab kepada Kementerian Kesihatan menunjukkan sifat angkuh dan tidak bertanggungjawab. Malah beliau memberi alasan dengan menyatakan bahawa, hakikat beliau telah dibenarkan masuk ke istana pada 17 Ogos menjadi bukti beliau telah diuji negatif untuk Covid-19.
Khairuddin masih gagal memahami bahawa keputusan ujian negatif beliau bukanlah isu utama. Jika hasil ujian positif pastilah beliau sudah berada di hospital dan tidak akan ada masalah selanjutnya. Isunya ialah mengapa beliau dan keluarga tidak dikenakan arahan kuarantin 14 hari. Ini jelas suatu tindakan penguatkuasaan undang-undang pilih kasih di mana pada Menteri bebas, sedangkan rakyat biasa ditahan, digari dan didenda.
Sewajarnya Khairuddin berasa insaf dan mencontohi kepimpinan melalui tauladan yang ditunjukkan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong yang turut mengenakan kuarantin kendiri setelah kakitangan istana Baginda diuji positif Covid-19. Jika Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang mempunyai imuniti undang-undang boleh mengikuti protokol keselamatan tersebut, mengapa tidak Khairuddin? Adakah Khairuddin berasa beliau mempunyai status istimewa?
Ahli Parlimen Seputeh DAP, Teresa Kok yang membongkarkan perkara ini, turut mendedahkan bahawa Khairuddin telah menghadiri lebih 12 program dan mesyuarat sejurus pulang dari Turki pada 8 Julai. Berbeza dengan Ireland apabila menterinya meletak jawatan dua hari selepas melanggar protokol keselamatan Covid-19, keangkuhan dan keengganan Khairuddin untuk mengakui kesalahan beliau setelah 6 minggu jelas tidak boleh diterima dan bertentangan dengan kepentingan rakyat. Kini soalnya bukan lagi tentang hukuman terhadap Khairuddin atas salah lakunya semata-mata, malah adakah beliau layak menjadi menteri dalam kerajaan Baginda Yang Di-Pertuan Agong.