Skip to content

Jika PM dengan mudahnya melanggar janjinya untuk menghapuskan Akta Hasutan tanpa merujuk kepada Kabinet, bolehkah dipercayai janji-janji beliau untuk membasmi rasuah, mengurangkan hutang, merapatkan jurang pendapatan dan untuk tidak menutup sekolah Cina dan Tamil?

Jika Perdana Menteri dengan mudahnya melanggar janji yang telah dibuatnya sebanyak tiga kali untuk menghapuskan Akta Hasutan tanpa merujuk kepada Kabinet, bolehkah dipercayai janji-janji beliau untuk membasmi rasuah, mengurangkan hutang, merapatkan jurang pendapatan dan untuk tidak menutup sekolah Cina dan Tamil dalam keadaan MCA, MIC, Gerakan, SUPP dan PBS semuanya tidak lain hanyalah parasit politik yang juga juak UMNO? Sewaktu mengumumkan bahawa Akta Hasutan tidak akan dihapuskan dan sebaliknya akan diperkukuhkan, Najib mendakwa bahawa keputusan itu dicapai setelah mendapatkan pandangan para pemimpin dan penyokong UMNO serta NGO.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr. S Subramaniam telah mengesahkan status parti-parti komponen BN bukan-Melayu sebagai parasit politik yang juga juak UMNO apabila beliau mengakui bahawa MIC mahu pun Kabinet tidak dirujuk sebelum Najib membuat pengumuman itu. Walaupun diaibkan oleh Najib dengan pengumuman itu, atau oleh seruan MCA dan Gerakan sebelum itu agar Akta Hasutan dihapuskan, kita boleh menjangka para pemimpin MCA dan Gerakan tetap akan patuh dan menyokong langkah UMNO mengenakan kekangan lebih ketat menerusi Akta Hasutan.

Jika pemimpin UMNO mampu mendesak Perdana Menteri untuk mencabul janjinya sendiri, 28 juta rakyat Malaysia tidak lagi bersikap naif untuk terus bergantung harap bahawa Najib akan menepati janjinya untuk memelihara sekolah berbahasa ibunda atau memerangi rasuah, mengurangkan hutang dan merapatkan jurang pendapatan. Kini komitmen UMNO yang nampaknya lebih penting dan mustahak daripada apa saja janji yang mungkin dibuat oleh Perdana Menteri.

Di mana komitmen UMNO untuk membasmi rasuah atau menanggapi sesetengah individu yang kekayaannya melimpah ruah tanpa diketahui sumbernya apabila perkara sebegini tidak pernah dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO? Mengapa tidak pernah dibahaskan bagaimana seorang anak muda Malaysia bernama Jho Low boleh mampu menderma sebanyak US$25 juta kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu?

Begitu juga tiada perhatian wajar diberikan apabila Human Development Report 2013 melaporkan sebahagian besar rakyat Malaysia dihimpit masalah ekonomi? 53% isi rumah Malaysia tidak mempunyai aset kewangan, seorang daripada setiap tiga orang rakyat Malaysia tidak mempunyai apa jua jenis akaun perbankan atau kewangan, manakala isi rumah di luar bandar mencatatkan kadar tertinggi kalangan yang tidak mempunyai sebarang aset kewangan (63%), berbanding 45% isi rumah di bandar. Berdasarkan kelompok etnik, sekitar 57% Bumiputera bukan-Melayu dan 55% Melayu tidak mempunyai aset kewangan, manakala golongan Cina dan India yang tidak mempunyai aset kewangan masing-masing pada kadar 45% dan 44%.

Bersandarkan angka daripada Household Income Survey, laporan yang sama mencatatkan bahawa hampir 90% dan 86% masing-masing isu rumah luar bandar dan bandar tidak mempunyai simpanan, manakala majoriti isi rumah, iaitu pada kadar 88%, tidak mendapat penghasilan daripada simpanan mereka. Data daripada simpanan KWSP pada tahun 2013 menunjukkan 90% rakyat Malaysia yang menghampiri usia persaraan tidak mempunyai dana yang cukup untuk mengekalkan gaya hidup yang asas selama lebih daripada lima tahun.

Simpanan KWSP yang rendah disebabkan majoriti rakyat Malaysia menerima gaji yang rendah. Caruman daripada gaji untuk KWSP menunjukkan bahawa pada tahun 2013, sepertiga atau 2.1 juta anggota yang aktif menerima pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan, manakala lebih sedikit daripada dua-pertiga (76.8%) mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Sekitar 90% mempunyai pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

Menteri-menteri UMNO tidak patut menyalahkan rakyat tetapi sepatutnya mendengar nasihat Pak Lah bahawa mengekalkan Akta Hasutan bukan penyelesaian untuk mengekalkan kuasa UMNO dalam pilihanraya akan datang

Najib mengundang kecewa segelintir orang yang masih percaya dengan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang mengotakan kata-kata. Lebih mengecewakan adalah reaksi para pemimpin UMNO terhadap tindakan Najib memungkiri janji. Menteri Kesejahteraan Bandar dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan malah menyalahkan rakyat Malaysia kerana membuatkan Najib mengekalkan Akta Hasutan dengan mengkhianati kepercayaan Najib dengan tidak memberikan beliau keyakinan untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Memang itulah gaya UMNO, menyalahkan pihak lain atas kesalahan mereka sendiri, terutama apabila mereka mengecam dan menuduh masyarakat Cina menyebabkan UMNO hilang kerusi dalam pilihanraya meski pun pada hakikatnya orang Melayu sendiri tidak lagi menyokong UMNO. Terbaru, UMNO berbohong dengan menyalahkan DAP atas pembelian tanah Melayu di Balik Pulau, Pulau Pinang, serta menuduh DAP mengusir mereka ke Seberang Perai. Pihak yang membeli tanah Melayu dan menjual kepada pihak ketiga untuk menangguk untung bukan DAP tetapi pemimpin-pemimpin UMNO Pulau Pinang sendiri.

Maison Heights Sdn Bhd yang dimiliki oleh Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam Dato Musa bin Haji Sheikh Fadzir dan Ketua Bahagian UMNO Bukit Gelugor Dato Omar bin Haji Faudzar telah membeli 10 ekar tanah di Kampung Terang, Balik Pulau, daripada 31 pemilik tanah Melayu pada 31 Januari 2012 dengan harga RM8.6 juta. Mereka menjual tanah itu tiga setengah bulan selepas itu, iaitu pada 16 Mei 2012, pada harga RM13.5 juta, menangguk untung sebanyak RM5 juta, kepada pihak ketiga. Para pemimpin UMNO Pulau Pinang tidak mengecam dua pemimpin mereka sendiri kerana menjual tanah Melayu di Balik Pulau, sebaliknya mereka menyalahkan saya walaupun saya tidak mendapat untung walaupun satu sen.

Sambil UMNO meraikan pengekalan Akta Hasutan 1948, parti itu sepatutnya mendengar amaran yang dilontarkan bekas presiden parti dan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa UMNO tidak sepatutnya menyalahgunakan Akta Hasutan untuk mengekalkan kuasa. Benar kata Pak Lah, hanya sokongan rakyat, bukannya pengekalan Akta Hasutan, yang dapat memastikan kuasa UMNO kekas, kerana “jika rakyat tidak lagi menyokong kita, tiada undang-undang atas bumi Tuhan ini yang boleh menyelamatkan UMNO.”

Rakyat Malaysia cukup cerdik untuk melihat sikap MCA, MIC, Gerakan, dan SUPP yang suka mengambil kesempatan politik dengan hanya mematuhi secara membabi-buta ketetapan UMNO demi mendapatkan kerusi menteri. Kerana itulah parti-parti komponen bukan-Melayu itu hilang sebahagian besar kerusi mereka dalam Pilihanraya Umum ke-13. Begitu juga dengan para pengundi Malaysia yang mampu melihat sikap suka mengambil kesempatan politik yang ditunjukkan Najib apabila beliau memungkiri janji yang ditabur kepada pengundi-pengundi dalam pilihanraya umum lalu. Para pengundi Malaysia akan memutuskan pada Pilihanraya Umum ke-14 nanti sama ada mereka hendak menyokong pengekalan Akta Hasutan bagi memastikan UMNO kekal berkuasa.