Saya terbaca laporan media menyatakan yang saya akan dipanggil oleh pihak polis untuk merakam kenyataan kerana terlibat dalam perhimpunan Undi18 di luar bangunan Parlimen pada hari Sabtu lepas.
Sehingga 7 malam tadi, saya masih belum dihubungi oleh pihak polis mengenai perkara tersebut.
Saya adalah Ahli Parlimen Segambut.
Bangunan Parlimen terletak di dalam kawasan parlimen yang saya wakili.
Hari Sabtu lepas saya berada berhampiran kawasan tersebut dan dimaklumkan terdapat perhimpunan aman oleh anak-anak muda yang membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya yang menangguhkan perlaksanaan Undi18 sehingga September 2022.
Pada 2019, saya merupakan salah seorang Ahli Parlimen yang telah bersetuju perlaksanaan Undi18 di Parlimen.
Sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, saya ke sana untuk melihat apa yang berlaku di kawasan parlimen saya yang mendapat liputan meluas daripada media. Bagaimanapun ketika saya sampai, anak-anak muda ini sudah mula mahu bersurai.
Pada pandangan saya, selari dengan keputusan di Parlimen bagi perlaksanaan Undi18, jika seseorang yang berusia 18 tahun telah cukup matang untuk dibenarkan memandu atau berkahwin, mereka juga berhak untuk mengundi.
Parlimen telah membuat keputusannya pada tahun 2019 dan kini Parlimen tidak bersidang. Anak-anak muda ini tiada tempat untuk meluahkan kekecewaan mereka melainkan di Parlimen itu sendiri.
Saya berharap polis dapat mengambil kira yang anak-anak muda ini hadir dan bersurai dengan aman, memakai pelitup muka dan mematuhi semua arahan polis. Saya akan memberikan kerjasama dengan pihak polis jika dipanggil dan akan memaklumkan kepada mereka apa yang telah saya lihat dan apa yang saya pertahankan.
Buat mereka yang meyakini Undi18 dan pengundi di Segambut.
Ahli Parlimen anda,
Hannah Yeoh