Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin dilaporkan telah memohon maaf kepada kedua-dua Sultan Johor dan Selangor. Beliau juga dilaporkan memohon menghadap kedua-dua Sultan bagi menerangkan isi kandungan ceramahnya di sebuah masjid, di mana beliau telah mempertahankan dobi untuk orang Islam sahaja di Johor.
Adakah beliau kesal dengan ceramah yang mengandungi perkataan-perkataan bersifat rasis, kurang adab dan kritikan melampau terhadap institusi raja-raja Melayu? Atau adakah beliau semata-mata memohon maaf kerana takut dipenjarakan? Adakah Zamihan benar-benar menyesal? Jika ya, Zamihan juga mesti memohon maaf kepada peguam, Siti Kassim kerana melabelnya murtad; kepada komuniti Kristian kerana memanggil mereka kafir, dan juga kepada masyarakat Cina kerana menuduh mereka pengotor.
Jika Zamihan enggan memohon maaf kepada mereka, ternyata beliau hanyalah seorang pengecut dan pendusta yang hanya terkinja-kinja mahu memohon maaf kepada Raja-Raja kerana takut diambil tindakan.
Sebaliknya, jika Zamihan berani, saya boleh mengaturkan dialog bersama mubaligh-mubaligh Krisitan, pemimpin komuniti Cina yang didakwanya pengotor, serta Siti Kassim sendiri (dengan izinnya) untuk mencapai suatu persefahaman, rasa hormat dan toleransi sesama agama dan budaya yang begitu berbilang di Malaysia.
Jika Zamihan benar-benar rasa bersalah tentang ceramah yang bersifat rasis dan biadab terhadap rakyat Malaysia sehingga beliau disumbat ke lokap selama dua hari, saya juga bersedia untuk menarik balik laporan polis terhadapnya yang saya buat minggu lalu.