Mengapa Klinik Kesihatan, Klinik Desa, Klinik Komuniti tidak boleh dijadikan tempat penerimaan vaksin, jika surau sudah dibenarkan?
Mengapa warga emas tidak boleh menerima vaksin di pusat vaksin yg sedia ada dan dekat, tetapi perlu menempuh perjalanan ke pusat vaksin di kawasan lain yang sejauh 50 hingga 60 kilometer?
Saya amat mengalu-alukan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk melaksanakan kaunter bergerak vaksinasi Covid-19 ke kawasan luar bandar untuk pemberian vaksin.
Semalam, JKJAV mengeluarkan laporan mengenai kaunter bergerak vaksin di TANAH MERAH, Kelantan untuk pemberian vaksin kepada 53 orang warga emas.
Pada tahap kedua vaksinasi untuk warga emas, terdapat dua masalah pentadbiran utama yang perlu diselesaikan secepat mungkin:
- Pusat vaksinasi hanya boleh mendapatkan senarai nama penerima vaksin pada hari yang sama atau waktu petang sehari sebelumnya, menyebabkan ramai orang terlepas temu janji tanpa menyedarinya.
- Banyak kawasan seperti Yong Peng, Paloh, Labis, dan Gemas tidak mempunyai pusat vaksin di kawasan luar bandar dan perlu menempuh jarak 50 hingga 60 kilometer untuk mendapatkan vaksin. Beberapa kawasan ADUN bandar seperti Mengkibol walaupun mempunyai pusat vaksin, tetapi ramai orang perlu menempuh perjalanan sejauh 60 kilometer ke Simpang Renggam untuk mendapatkan vaksin.
Saya menyarankan agar JKJAV bekerjasama dengan industri pelancongan untuk menyewa sejumlah besar bas pelancongan untuk mengubahnya menjadi kaunter bergerak vaksinasi Covid-19 bagi mengatasi masalah ribuan kenderaan yang menempuh jarak jauh setiap hari, ia juga melanggar makna Perintah Kawalan Pergerakan Penuh.
Pada 2 Jun yang lalu, Kementerian Kesihatan telah membuat makluman di Facebook berkenaan mereka telah memulakan Program Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 di surau di Padang Terap, Kedah. Pada 31 Mei, saya juga telah mengutarakan sebuah cadangan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kluang tentang bagaimana untuk menyelesaikan masalah penduduk yang tidak rela mendaftar vaksin dan pemberian vaksian kepada penduduk luar bandar, di mana Pejabat Daerah dan Pejabat Agama boleh mengadakan pendaftaran dan pemberian vaksin di surau dan masjid.
Oleh kerana kita dapat melakukan pemberian vaksin di surau, maka tidak ada alasan mengapa kita tidak dapat mengadakan pemberian vaksin di Klinik Desa atau Klinik Komuniti di seluruh negara.
Sementara masih terdapat kekurangan bilangan kaunter bergerak vaksin, kita harus mengumpulkan temu janji individu yang perlu menempuh lebih dari 50 kilometer, dan kemudian fokus pada klinik kerajaan terdekat untuk sesi khas setiap minggu.