Saya merujuk kepada program Jualan Prihatin Rakyat yang berlangsung pada hari Jumaat lepas (4 Februari) atas anjuran Perikatan Nasional bertempat di Dataran Pagoh Jaya, Pagoh, Johor. Program tersebut diwar-warkan menjual barang-barang asas keperluan harian seperti satu set 5kg beras, 1kg gula, 1 ekor ayam dan 1 papan telur. Malahan, ia juga telah diiklankan yang harga istimewa akan ditawarkan daripada harga pasaran dan rakyat biasa mampu jimat sebanyak RM20 daripada pembelian set tersebut. Ini antara gimik murahan demi menarik pengundi sempena Pilihanraya Negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi, akan tetapi ia tidak memberi impak berterusan kepada rakyat jelata.
Saya juga berasa kesal dengan realiti kenaikan harga bagi keperluan harian, tetapi ini tidak menghalalkan perbuatan Perikatan Nasional seperti menganjurkan Jualan Prihatin Rakyat. Malah, ia lagi mengeruhkan keadaan oleh kerana kita menormalisasikan budaya yang memurahkan undi rakyat dan membebankan pemain industri kecil.
Tambahan pula, sebagai sebuah parti kerajaan, Perikatan Nasional haruslah menghasilkan cadangan dan polisi yang lebih kukuh untuk menghentikan kenaikan harga barang.
Lebih dari 1.6 juta pengguna komersial dan industri perlu membayar lebih kurang 20% lebih untuk bil elektrik iaitu 3.7 sen kilowatt-jam (kWj) bermula dari 1 Februari. Bagaimana pemain industri kecil dan peniaga kecil, yang juga pemain industri, mampu membayar bil elektrik yang begitu tinggi? Hasilnya, pihak pembekal dan peniaga kecil terpaksa meninggikan harga barang untuk menampung kos. Dan beban itu jatuh kepada pengguna untuk membeli barang mereka dengan harga yang lebih tinggi. Apakah pendirian PN terhadap kenaikan tarif elektrik? Bukankah hentikan kenaikan tarif elektrik akan bantu lebih ramai rakyat jelata secara berterusan?
Saya ingin mengingatkan PN dan Menteri-Menteri PN, mereka harus iltizamkan rancangan yang lebih teliti supaya kita tidak membebankan pembekal dan peniaga kecil. Saya akur yang promosi sebegini dapat mendapat tarikan yang kuat bagi pengundi tetapi kita kena menilai impak program seperti ini dalam konteks gaji minima yang rendah, kos sara hidup yang semakin tinggi dan kos yang terpaksa ditanggung oleh pembekal dan peniaga kecil.