Sehingga hari ini, sebanyak tujuh (7) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam telah beroperasi membabitkan kelima-lima daerah di negeri ini iaitu bagi Daerah Timur Laut di Kompleks Masyarakat Penyayang dan Tapak Pesta Sungai Nibong; Daerah Barat Daya, Kompleks Sukan Balik Pulau; Seberang Perai Utara, Dewan Millenium; Daerah Seberang Tengah, Dewan SP Arena dan Tapak Ekspo Seberang Jaya manakala Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan Serbaguna Jawi. Pengoperasian PPV awam sebagaimana disenaraikan termasuk di empat (4) buah hospital awam khas kepada golongan komorbid menjadikan keseluruhan suntikan harian adalah berjumlah 8,500 dos.
Dalam pada itu, bagi kategori PPV awam juga, Balai Rakyat Bayan Baru, Daerah Barat Daya dengan kapasiti 800 dos/sehari akan mula beroperasi pada 22 Jun 2021 diikuti Pusat Konvesyen Perda (1,000 dos/sehari), Daerah Seberang Perai Utara Dewan Serbaguna Sungai Bakap (1,200 dos/sehari) bagi Daerah Seberang Perai Selatan kelak.
Bermula 7 Jun 2021, PPV mega di SPICE Arena telah dibuka dengan kapasiti 3,000 dos/sehari. Malah, hasil usahasama Kerajaan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Universiti Sains Malaysia (USM), dua PPV komuniti juga bakal dibuka membabitkan kampus induk di Batu Uban dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, Bertam dengan jumlah kapasiti 1,400 dos/sehari.
Bagi ‘economic frontliners’, sebagaimana diumumkan menerusi kenyataan saya bertarikh 12 Jun 2021, PPV di Bukit Jawi Golf Resort akan dibuka pada 16 Jun 2021 dan Hotel Equatorial (28 Jun 2021) dengan jumlah kapasiti 2,500 dos/sehari. Dalam pada itu, bagi cadangan pelaksanaan PPV di lapangan (on site PPV) membabitkan tiga syarikat multinasional dengan kapasiti 4,000 dos/sehari, Kerajaan Negeri masih menunggu maklum balas lanjut daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Bagi PPV hospital swasta (PPVHS), selain tiga (3) yang telah beroperasi sejak 7 Jun 2021 iaitu Hospital Lam Wah Ee, Hospital Pantai dan KPJ Penang Specialist Hospital, Hospital Loh Guan Lye juga telah mula beroperasi semalam berserta 10 daripada 51 klinik swasta berdaftar kini dengan kadar vaksinasi 956 dos/sehari.
Perincian adalah sebagaimana dilampirkan, dan semua sesi janji temu bagi proses vaksinasi adalah menerusi aplikasi MySejahtera.
Secara keseluruhan, data dari Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga semalam, 14 Jun 2021 menunjukkan bahawa jumlah pendaftaran kumulatif bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi Pulau Pinang adalah seramai 900,073 orang manakala jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi dos pertama ialah 162,007 penerima dan 79,844 penerima (dos kedua).