Skip to content

Kabinet membusung dengan 35 orang anggota dan perjawatan menteri baru, tetapi tiada iniasiatif dasar baru

Pelantikan seorang menteri Kabinet Gerakan, dua menteri Kabinet MCA dan tiga Timbalan Menteri MCA terang-terang merupakan kejayaan peribadi yang menewaskan kepentingan umum, serta tewasnya prinsip terhadap jawatan politik selain kekuasaan Umno ke atas BN. Dengan dilantik ke portfolio jawatan yang kosong dan tidak bermakna sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (kecuali yang dilantik ke Kementerian Pengangkutan), kedua-dua MCA dan Gerakan menunjukkan bahawa mereka menikmati pengaruh yang lebih kecil terhadap dasar BN berbanding Perkasa.

Walaupun MIC mempunyai kurang kerusi parlimen tujuh kerusi MCA, dua menteri MIC diberikan kementerian yang lebih berpengaruh dan portfolio yang lebih penting seperti Sumber Asli dan Alam sekitar serta Kesihatan yang masing-masing dijawat oleh Datuk G. Palanivel dan Datuk S Subramaniam. Orang ramai berharap supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan sekurang-kurangnya menggantikan beberapa menteri kabinet Umno untuk mengembalikan portfolio tradisional MCA kepada MCA. Bagaimana pun, ini tidak berlaku malah berbanding mengurangkan anggota kabinet Umno, Najib memilih untuk menambah anggota kabinetnya menjadi 35 orang.

Bagi sebuah negara dengan populasi 28 juta, kabinet yang begitu membusung ini dianggotai 35 menteri penuh dan 27 timbalan menteri. Ini boleh dibandingkan dengan tiga negara lain yang mempunyai populasi lebih besar tetapi hanya mempunyai 23 menteri kabinet, seperti United Kingdom yang mempunyai 63 juta rakyat, Amerika Syarikat 313 juta rakyat malahan India yang mempunyai 1.1 bilion penduduk. Atas dasar dan logik apa Malaysia yang mempunyai bilangan penduduk lebih sedikit berbanding UK, USA dan malah India mempunyai 50% lebih anggota kabinet seramai 35 orang berbanding 23.

MCA tidak boleh mendakwa bahawa mereka diberi jumlah jawatan kabinet yang lebih sedikit kerana mereka menang jumlah kerusi yang sedikit pada pilihanraya umum 2013, kerana MCA menang besar dalam pilihanraya umum yang lalu malah telah menyelamatkan Umno/BN daripada kekalahan pada pilihanraya 1999; pun begitu bilangan jawatan menteri mereka tidak bertambah malah kekal sebanyak empat jawatan. Jelas sekali MCA dilayan tidak lebih daripada pengemis politik dan memperolehi apa yang tersisa apabila tidak diberikan anugerah apabila MCA menang besar serta tidak pula dihormati apabila ia tewas.

Lebih malang lagi apabila pelantikan kementerian mereka tidak disertai oleh sebarang inisiatif dasar baru seperti melawan rasuah dengan melakukan pengisytiharan harta secara umum para menteri atau pun mengakhiri tender yang dirunding dan memberi laluan kepada tender terbuka, penginstitusian dana tahunan untuk sekolah Cina dan Tamil selain menumpukan sumber kepolisan untuk membanteras jenayah supaya rakyat bukan sahaja selamat tetapi yakin mereka selamat.

Presiden Gerakan Mah Siew Keong pun tidak berjaya membuat Menteri Dalam Negeri Datuk Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada masyarakat Cina yang disifatkannya sebagai tidak berterima kasih dan tidak pula beliau berhasil mendapatkan universiti yang tulen untuk Teluk Intan yang menawarkan pelbagai kursus. Kedua-dua MCA dan Gerakan telah gagal membuat Umno menghentikan sokongan kepada pelaksanaan hudud, mahupun menghentikan penukaran agama Islam secara satu pihak oleh salah seorang ibu bapa ataupun bertindak terhadap mereka yang rasis dan ekstremis yang membuli dan mengugut mereka yang bukan Islam atau bukan Melayu.

Dengan kegagalan untuk menegaskan bahawa Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang sekular, kemasukan semula MCA dan Gerakan ke dalam kabinet tidak akan membuat sebarang perubahan tetapi hanya akan menghasilkan sandiwara politik yang hingar membantah di luar tetapi menikus diam di dalam. Jelas sekali kedua-dua MCA dan Gerakan tidak mengambil pelajaran daripada kekalahan mereka dalam pilihanraya 2013 dan nampaknya tetap akan kembali kepada cara lama, dengan tunduk patuh kepada kekuasaan Umno.