Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak membuat pusingan-U kedua dalam soal cukai GST, sebuah dasar negara yang memberi kesan kepada kelangsungan hidup rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendaptan rendah.
Pusingan-u pertama dilakukan oleh pihak kerajaan pada 1 April 2015 apabila GST dilaksanakan buat kali pertama dan mereka berkata hanya 6% cukai akan dilevi daripada bahan makanan diproses bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah. Namun, senarai 60 bahan makan baru termasuk makanan tidak diproses seperti ikan keli, bayam, kacang panjang, kacang pis, ubi kentang, jagung manis dan bahan-bahan lain diwartakan pada 6 Jun untuk dikenakan GST bermula 1 Julai.
13 hari kemudian setelah media sosial mula kecoh dan sehari selepas laman-laman berita utama melaporkan hal tersebut, kerajaan membuat satu lagi pusingan-U semalam dengan membatalkan pelaksanaan rancangan baru itu.
Beberapa persoalan penting timbul daripada tindakan flip-flop ini: Siapakah Napoleon kecil atau menteri yang membuat keputusan untuk mengenakan cukai GST ke atas 60 bahan makanan baru ini? Adakah kabinet dimaklumkan dan adakah ia memberi persetujuan? Adakah Najib Razak sendiri, sebagai Menteri Kewangan atau orang lain, memberi arahan semalam supaya rancangan GST baru tersebut dibatalkan?
Cukai GST bukanlah seperti aturan menu makan Najib Razak yang boleh ditukar-tukar apabila tidak kena dengan selera beliau atau anggota keluarganya. Sebarang perubahan terhadap GST memberi kesan terhadap ekonomi negara, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Kabinet Najib Razak bertanggungjawab kepada rakyat untuk memperjelaskan sebab di sebalik dua pusingan-U ini. Kita juga memerlukan jaminan daripada pihak kerajaan bahawa ia tidak akan berlaku lagi tanpa rundingan dengan mereka yang terkesan serta perbahasan di Palrimen.