Rakyat negara ini pastinya telah terkejut membaca pengakuan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Tan Sri Hasmy Agam semalam bahawa Suruhanjaya terbabit hanyalah merupakan ‘harimau tak bertaring’ sejak ia ditubuhkan pada tahun 2000.
Dalam majlis pelancaran Laporan Tahunan 2014-nya semalam, Hasmy berkata bahawa mereka telah lantang bersuara, namun mereka terikat dan tidak mampu mengejar dan ‘menggigit’ meski pun telah memohon kepada pihak kerajaan supaya diberikan lebih kuasa dan ‘taring’.
Barangkali apa yang wajar dilakukan oleh para pesuruhjaya SUHAKAM ialah untuk meletakkan jawatan secara beramai-ramai dengan mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai protes atas layanan yang diberikan kepada mereka oleh pihak Putrajaya.
Kedua, saya cadangkan supaya SUHAKAM bertindak mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Raja-raja bahawa Putrajaya telah menyalahgunakan nama ‘Suruhanjaya’ dengan mendakwa bahawa pihak kerajaan meminta pendapat Suhakam dari semasa ke semasa sebelum sebarang rang undang-undang dibentang di Parlimen, yang ternyata tidak benar seperti yang didedahkan oleh Hasmy semalam; walaupun dinafikan oleh Menteri Dalam Negeri Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Memandangkan sudah jelas sekarang bahawa SUHAKAM nampaknya tidak relevan lagi dan hanyalah pembaziran wang rakyat, Kabinet patut berbincang segera untuk membubarkan SUHAKAM dan diganti dengan ‘Suruhanjaya Pembaharuan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia’ serta mewajibkan konsultasi dengan Suruhanjaya baru ini sebelum sebarang rang undang-undang baru dibentangkan di Parlimen.