Skip to content

Kabinet sekarang telah mengambil alih tugas PDRM, SPRM, Bank Negara, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Peguam Negara

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, Kabinet telah menyatakan keyakinannya bahawa tidak ada sebarang salah silap telah dilakukan oleh 1MDB.

Nampaknya Kabinet sekarang telah mengambil alih tugas PDRM, SPRM, Bank Negara, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Peguam Negara. Kenyataan ini merupakan suatu jaminan rasmi kepada semua pelabur dari dalam dan luar negara yang terlibat dengan 1MDB bahawa tindakan tidak akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap sesiapan yang terlibat dalam skandal 1MDB, tidak kiralah apa sahaja hasil siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) ke atas akaun syarikat tersebut.

Janganlah kita membuang masa bertanya setiap menteri Kabinet sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri di atas itu memandangkan kita belum pernah melihat mana-mana menteri yang berani membantah keputusan Kabinet, kecuali bekas menteri undang-undang dahulu, Datuk Zaid Ibrahim.

Namun saya rasa perlu untuk dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low dan Dato’ Sri Abdul Wahid Omar menyatakan secara terbuka sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri tersebut.

Ini kerana Transparency International Malaysia (TI-M) yang dahulunya seakan kediaman Paul Low, pernah mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah badan bertindak peringkat tinggi untuk menyiasat apa yang disifatkannya sebagai skandal jenayah komersial bernilai berbilion ringgit melibatkan 1MDB. TI-M turut menyatakan bahawa fima Ernst & Young dan juga KPMG harus dilibatkan sama memandangkan dua firma itu pernah menjadi juruaudit luaran 1MDB sebelum menarik diri [1].

Abdul Wahid Omar juga wajar menyatakan pendiriannya memandangkan beliau satu-satunya Menteri yang mempunyai pengalaman dalam industri perbankan, terutamanya yang melibatkan hutang, sebagai bekas CEO Maybank.

Sekiranya mereka berdua pun enggan menyatakan pandangan mengenai kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu, maka kita tahulah bahawa mereka dan juga menteri-menteri Kabinet yang lain hanyalah sekadar ‘rubber stamp’ yang tunduk patuh kepada arahan Perdana Menteri, manakala arahan Najib supaya Ketua Audit Negara memeriksa akaun 1MDB hanyalah satu lagi sandiwara untuk menyembunyikan segala keburukan.