Skip to content

Kadar inflasi naik sehingga 4.7% dan Ringgit jatuh kepada RM4.5 berbanding Dolar AS, melainkan Ismail Sabri tukar pengurus ekonomi dan pejuang inflasi yang telah gagal, rakyat Malaysia akan lebih menderita daripada segi kewangan

Sikap acuh tak acuh Menteri Ekonomi Mustapa Mohamad terhadap penderitaan kewangan yang ditanggung oleh rakyat daripada kenaikan kadar inflasi tahunan Malaysia ke paras tertinggi di dalam 16 bulan sebanyak 4.7% pada Ogos 2022 daripada 4.4% pada Julai manakala inflasi makanan meningkat sebanyak 7.2% berbanding 6.9% pada bulan Julai, adalah mengecewakan sama seperti pengurusan ekonomi kerajaan yang lemah. Kegagalan Mustapa menguruskan ekonomi dan kegagalan Annuar Musa mengawal inflasi sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Kabinet Jihad Tangani Inflasi yang dibentuk pada Jun lalu telah menyebabkan Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang mengakibatkan peminjam terpaksa membayar kos faedah lebih tinggi.

Memandangkan kenaikan OPR kepada 2.5% dibuat sebelum data inflasi terkini bulan Ogos dilaporkan, Bank Negara dijangka menaikkan lagi OPR menjelang November tahun ini dan Januari tahun depan kepada 3%, sekali gus mengenakan beban kewangan yang lebih berat kepada rakyat Malaysia dan perniagaan. Melainkan Perdana Menteri Ismail Sabri menukar pengurus ekonomi dan pejuang inflasi yang telah gagal, rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung lebih banyak penderitaan daripada segi kewangan.

Selain gagal mengawal kenaikan inflasi dan kenaikan harga makanan masing-masing daripada 3.4% dan 6.1% pada Jun kepada 4.7% dan 7.2% pada Ogos 2022, Annuar Musa secara tidak bertanggungjawab memperkecilkan penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS sebagai sementara sahaja. Bagaimanakah penurunan itu boleh bersifat sementara apabila dolar AS telah jatuh ke paras terendah baru di dalam 24 tahun kepada RM4.58 hari ini?

Penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS sekarang bukanlah bersifat sementara kerana Ringgit telah melemah hampir 10% tahun ini daripada RM4.17 pada akhir 2021. Rakyat Malaysia terpaksa membayar kos import yang lebih tinggi dan kerajaan Malaysia membayar balik pinjaman di dalam denominasi AS dengan lebih tinggi, terutamanya pinjaman 1MDB AS$6.5 bilion, yang pastinya tidak bersifat sementara kerana kerugian ini tidak dapat didapatkan kembali.

Annuar Musa salah dalam memberi gambaran bahawa penurunan nilai ringgit hanya melibatkan dolar AS, apabila ringgit juga turun berbanding dua lagi rakan dagang utama negara kita. Berbanding dolar Singapura, ringgit baru-baru ini merosot ke paras terendah di dalam sejarah kepada RM3.26 manakala rupiah Indonesia telah mengukuh lebih daripada 4% tahun ini berbanding ringgit.

Adakah mengetepikan penyusutan nilai ringgit sebagai bersifat sementara adalah satu alasan untuk tidak berbuat apa-apa kerana kerajaan tidak tahu apa yang perlu dilakukan atau kerajaan terlalu malas untuk memberi perhatian kepada cadangan bagi melaksanakan reformasi struktur ekonomi. Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata semalam, “Daripada menggunakan kawalan modal atau menambat semula ringgit, keutamaan dasar kini adalah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil dan mengukuhkan lagi asas ekonomi domestik melalui reformasi struktur. Ini akan memberikan sokongan yang lebih berkekalan kepada ringgit.”