Skip to content

Kaji semula tatacara kutipan sumbangan PIBG sekolah

Pusat Perkhidmatan ADUN Mengkibol Johor telah terima banyak aduan mengenai kutipan sumbangan PIBG kebelakangan ini, di mana sesetengah sekolah telah menjadikan sumbangan PIBG sebagai wajib dengan nilai yang ditetapkan.

Kutipan sumbangan PIBG bagailah agenda tahunan kebanyakan sekolah sekarang, untuk mengutip dana pembangunan sekolah dan membiayai perbelanjaan aktiviti sekolah.

Masalahnya sesetengah sekolah mengutip sumbangan daripada ibubapa secara paksaan tidak langsung, misalnya mengugut markah pelajar akan ditolak atau sijil pelajar akan digantung sekiranya sumbangan tidak dihulurkan.

Selain daripada menjadikan sumbangan ini wajib, ada sekolah pula menetapkan nilai sumbangan ini, sehingga RM245! Bayangkanlah mereka yang berpendapatan rendah atau mempunyai ramai anak yang berada di sekolah yang sama, ini memang menjadi satu beban yang berat kepada ibubapa pelajar.

Saya bercadang agar Kementerian Pendidikan mengkaji semula tatacara kutipan sumbangan PIBG ini.

Masalah kutipan sumbangan PIBG dan satu kertas cadangan untuk mengkaji semula tatacara kutipan ini telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, dalam satu perjumpaan pada pertengahan bulan lepas.

Pertama sekali, PIBG harus menyatakan dengan jelas di dalam suratnya kepada ibubapa, bahawa sumbangan PIBG bukannya wajib. Ia adalah sumbangan sukarela.

Kedua, nilai sumbangan tidak boleh ditetapkan di dalam surat itu. Nilai sumbangan sukarela ini haruslah bergantung kepada kemampuan ibubapa pelajar sekolah. Ia tidak boleh dipaksa dan ditetapkan nilainya.

Jabatan Pendidikan Negeri yang meninjau dan meluluskan kadar sumbangan PIBG harus mengkaji semula tatacara, rasional kutipan dan penggunaan dana sumbangan ini.

Seterusnya, Jabatan Pendidikan Negeri harus mengetahui sebab musabab kutipan yang tinggi? Adakah dana kutipan itu akan digunakan dengan cara yang betul dan sebab yang munasabah?

Adalah baik sekiranya Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri mengadakan satu mekanisma yang telus untuk memantau tatacara kutipan dan penggunaan dana kutipan agar penyalahgunaan boleh dielakkan. Ada rungutan ibubapa yang menyatakan bahawa dana telah dibelanjakan untuk membeli pakaian seragam yang sebenarnya tidak diperlukan.

Jikalau kutipan betul-betul diperlukan, ia haruslah dibuat pada kadar yang paling rendah, dan hendaklah digunakan untuk memanfaatkan sekolah dan pelajar sahaja.

Ada pula sekolah yang memang memerlukan dana sumbangan PIBG untuk membaiki kemudahan asas sekolah. Maka, cadangan akhir saya supaya Kementerian Pendidikan memberi perhatian dan bantuan khas kepada sekolah sebegini, demi membekalkan kemudahan asas kepada sekolah sedemikian.