Baru-baru ini, laporan-laporan di media massa sekali lagi membangkitkan mengenai projek terowong bawah dasar laut yang merupakan sebahagian daripada Projek Tiga Lebuh Raya Utama dan Terowong Bawah Dasar Laut di negeri Pulau Pinang.
Walaupun sudah banyak kali penjelasan diberikan oleh Kerajaan Negeri mengenai perincian projek yang telah dianugerahkan melalui tender terbuka pada tahun 2012, namun masih lagi berlaku banyak penyelewengan fakta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai memperjelaskannya sekali lagi, kos bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi keempat-empat pakej tersebut (tiga lebuh raya dan terowong bawah dasar laut) adalah berjumlah RM305 juta. Namun, hanya RM208 juta yang telah dibayar melalui kaedah ‘exchange land’ kepada kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci untuk tiga lebuh raya sahaja. Langsung tiada bayaran dibuat bagi terowong bawah dasar laut kerana kajian kebolehlaksanaannya belum lagi diterima serta diluluskan oleh Kerajaan Negeri.
Status terkini, kajian kebolehlaksanaan telahpun siap dan akan dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri sejurus segala ulasan daripada agensi teknikal termasuk agensi-agensi Persekutuan diterima.
Berkenaan dengan cadangan menggantikan terowong bawah dasar laut dengan jambatan, pada ketika ini, kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh CZC adalah untuk terowong bawah dasar laut sahaja dan bukannya untuk jambatan.
Walaupun Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan membina jambatan sebagai link ketiga, namun ia belum lagi dipertimbangkan. Sebarang pertimbangan hanya akan dilakukan setelah kajian kebolehlaksanaan dibentangkan secara rasmi kepada Kerajaan Negeri.