Skip to content

Kami ingin berdebat dengan Menteri Pengangkutan terhadap isu plat Patriot

Kami telah dijemput oleh Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) untuk berdialog dengan yayasan tersebut terhadap isu Plat Patriot, tetapi kami menegaskan bahawa kami hanya berminat untuk berdebat dengan Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Liow Tiong Lai sendiri terhadap isu tersebut.

Liow Tiong Lai sendiri telah mengakui bahawa dirinya yang memberi kelulusan kepada YPNM hak eksklusif untuk menjual siri Plat Patriot dan menafikan terdapat penyalahgunaan kuasa dalam proses kelulusan tersebut. Maka, adalah lebih baik bagi Menteri Pengakutan sendiri berdebat dengan kami bagi menjelaskan perkara tersebut kepada rakyat jelata.

Hanyalah Menteri Pengangkutan sendiri yang dapat memberi penjelasan secara terperinci macam mana proses kelulusan berlaku, dan apakah rasionalnya untuk memberi hak konsesi tersebut kepada YPNM tanpanya tender terbuka dipanggil bagi tujuan tersebut. Skim cepat kaya ini hanya akan menguntungkan kroni-kroni UMNO memandangkan YPNM kebanyakannya terdiri daripada mereka yang ada hubungkait langsung dengan UMNO.

Kami juga menuntut supaya YPNM mengumumkan keseluruhan perjanjian yang dibuat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap skim tersebut dan juga mengumumkan akaun YPNM sendiri supaya orang ramai dapat meneliti ke mana perginya wang yang digaut melalui skim cepat kaya tersebut. Apa-apa keuntungan yang digaut oleh YPNM melalui skim tersebut merupakan kerugian yang perlu ditanggung oleh JPJ dan Kerajaan Persekutuan atas sebab skim tersebut seharusnya dikendalikan oleh JPJ sendiri dan tidak perlunya dilaksanakan oleh pihak ketiga yang hanya berhasrat untuk mencari untung cepat sahaja.

Pada masa yang sama, saya, Ng Wei Aik, selaku pengadu yang membuat repot kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kelulusan skim tersebut juga ingin menuntut supaya SPRM memaklumkan kemajuan siasatan dan status terkini bagi kes yang saya telah laporkan. Mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa dalam memberi kelulusan skim tersebut kepada YPNM tanpanya tender terbuka haruslah diambil tindakan termasuk dihadapkan ke mahkamah dengan segera.

Untuk membolehkan debat kami dengan Menteri Pengangkutan dijayakan, ianya boleh dijalankan di mana-mana tempat, termasuk RTM atau televisyen-televisyen swasta pada tarikh dan masa yang ditetapkan oleh Menteri Pengangkutan sendiri. Yang penting, Menteri Pengangkutan sendiri perlu didesak untuk berdepan dengan rakyat supaya segala kerahsiaan di sebalik skim tersebut dapat dibawa ke muka pengadilan rakyat.