Skip to content

KDN dan MCMC masih gagal tangani judi atas talian

Perjudian atas talian (online) masih menjadi satu masalah besar di negara kita. Ramai diantara anak-anak muda kita amat terpengaruh dengan kegiatan judi atas talian ini. Perjudian atas talian begitu berleluasa seolah-olah tiada kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Selain itu, kita juga mendapati terdapat banyak aktiviti-aktiviti mempromosikan judi atas talian melalui SMS, Facebook, Watsapp dan Wechat. Peliknya bagaimanakah merka ini memasuki hak privasi pemilik telefon dengan begitu mudah dan menawarkan pelbagai perjudian atas talian. Ini juga mengganggu privasi pengguna.

Kegiatan judi atas talian ini adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang diletakkan di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia. Pihak polis bekerjasama dengan MCMC dalam membenteras perjudian atas talian. Tetapi, adakah undang-undang ini dapat mengawal kegiatan perjudian moden seperti ini?

Persoalannya ialah adakah undang-undang ini lemah atau perlaksanaanya tidak betul? Pada hemat saya tidak ada ‘political will’ dalam menyelesaikan masalah ini. Kerajaan tidak serius dalam menangani perjudian atas talian.

Walaupun banyak aduan telah dibuat kepada MCMC tetapi apakah hasilnya? Dari tahun 2015 sehingga September 2016 sebanyak 1161 aduan telah dibuat oleh orang awan kepada MCMC. Adakah semua aduan-aduan ini telah disiasat dan diambil tindakan yang sewajarnya?

Mengikut sumber tertentu pihak MCMC telah mengarahkan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menamatkan perkhidmatan sejumlah 12,499 nombor-nombor telefon yang menyebarkan perjudian atas talian sehingga Septemper. Tetapi, ramai juga yang masih begitu bebas mempromosi dan berani terlibat dengan perjudian atas talian di luar sana.

Saya juga berpendapat bahawa pihak Polis dan MCMC harus membuat kempen kesedaran secara agresif untuk memastikan orang ramai tidak terjerumus ke dalam aktiviti perjudian atas talian ini. Selain itu, orang ramai juga perlu mengetahui bagaimana caranya untuk membuat aduan kepada MCMC jika mereka menerima tawaran perjudian atas talian daripada pihak-pihak tertentu.