Skip to content

KDN dan MITI perlu segera duduk bersama untuk menyelesaikan masalah dihadapi oleh semua peniaga kecil sektor perlu

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan larangan pergerakan penuh (Total Lockdown) dilaksanakan, rakyat berasa amat kecewa dengan arahan tidak lengkap dan pusingan-U oleh kerajaan. Arahan mewajibkan surat MITI ke atas semua sektor perlu termasuk kedai runcit, makanan dan minuman telah menimbulkan masalah pelaksanaan pada peringkat tempatan.

Dalam pelaksanaan PKP yang lalu, kedai runcit, pasar raya (hypermarket), kedai makanan dan minuman yang disetujui oleh semua pihak sebagai sektor perlu, tidak diminta untuk memperoleh surat kebenaran dari MITI.

Namun kali ini, Kerajaan PN membatalkan surat kebenaran MITI lama serta mewajibkan semua sektor termasuk yang lazimnya tergolong dalam sektor perlu, untuk memohon kebenaran dengan kementerian masing-masing. Pengumuman ini bagaimanapun ditarik semula sehari selepas itu susulan banyak kementerian langsung tidak bersedia untuk memproses permohonan dari peniaga bidang masing-masing.

Malah, ada kementerian terpaksa mengguna borang Google untuk menerima permohonan.

Akhirnya, semua peniaga diminta untuk mengemukakan permohonan mereka semula menerusi sistem CIMS 3.0 yang dikawal selia oleh MITI – sekali lagi.

Masalah pusingan-U ini telah mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan peniaga. Sehingga sekarang, masih ada ramai peniaga dalam sektor perlu, termasuk kedai makanan dan minuman, kedai runcit ataupun pembekal barangan asas yang belum mendapat surat kebenaran daripada sistem MITI.

Ramai mereka tertanya-tanya, bolehkah mereka beroperasi ataupun menunggu sehingga kebenaran diberikan oleh MITI?

Antaranya, terdapat kes aduan melibatkan pihak yang membekalkan susu formula telah dihalang di sekatan jalan raya kerana polis tidak menerima surat MITI yang lama, dan malangnya dia belum mendapat surat kebenaran baharu daripada MITI. Ada pula kedai makanan yang tidak berani beroperasi kerana bimbang dikenakan tindakan walaupun mereka tersenarai sebagai sektor perlu.

Ada juga kes aduan bahawa syarikat “auto parts” atau alat ganti kereta telah mendapat kelulusan MITI namun sektornya tidak disenarai sebagai sektor perlu. Bagaimanna syarikat-syarikat perusahaan kecil ini hendak membuat rayuan sedangkan laman web MITI selalu menghadapi masalah sesakan trafik?

Sekiranya MITI tidak boleh menyelesaikan semua permohonan dalam tempoh seminggu, Menteri MITI, Azmin Ali seharusnya berunding dengan pihak penguatkuasa, iaitu polis yang menjaga sekatan jalan raya, KPDNHEP dan pihak berkuasa tempatan. Ketidakcekapan Kerajaan PN telah mengakibatkan masalah kepada semua pihak. Rakyat hanya minta agar kerajaan PN menyelaraskan tindakan mereka dalam krisis ini. Jangan biarkan rakyat menanggung kesemua kesalahan akibat dasar tidak lengkap kerajaan PN.