Skip to content

Keadaan huru-hara tidak boleh dibenarkan mengatasi kecekapan – PPV One Hope Center Juru telah kembali dengan perkhidmatan dos pertama mulai hari Rabu dan semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu mengadu kepada wakil rakyat PH terhadap segala gangguan dalam bekalan vaksin

Jumlah 19,740 kes COVID-19 baharu dan 274 kematian pada 16 Ogos dengan 1,424,639 kes kumulatif dan jumlah angka kematian sebanyak 12,784 diikuti dengan fakta yang turut merisaukan 1,047 kes di ICU dan 520 pesakit yang memerlukan intubasi. Dengan jumlah sebegitu tinggi kes ICU dan intubasi, angka kematian dijangka kekal tinggi bagi masa yang akan datang.

Malaysia masih terperangkap dalam kitaran jangkitan komuniti dengan kadar positiviti mencapai rekod tertinggi 15.17% pada 16 Ogos, lebih daripada tiga kali ganda melebihi 5% yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Daripada 130,113 ujian saringan yang dilakukan, kadar positiviti 15.17% menunjukkan bahawa ujian yang dilakukan tidak cukup untuk mengurangkan jumlah jangkitan seperti saranan WHO berkenaan pelaksanaan berskala besar FTTIS+V, Uji (Test), Kesan (Trace), Kuarantin (Isolate) dan Sokong (Support) ditambah Vaksinasi (Vaccination).

Latihan saringan massa perlu diperluas kepada sekurang-kurangnya 1% penduduk atau 320,000 ujian setiap hari di Malaysia supaya jangkitan dapat dikesan lebih awal dan diteruskan dengan kuarantin dan rawatan. WHO mengesyorkan FTTIS + V sebagai langkah pencegahan terhadap wabak besar pada masa depan. Imuniti kelompok perlu dicapai hanya melalui suntikan vaksin, bukan melalui jangkitan dan suntikan vaksin.

Berita yang lebih baik, PPV Penang One Hope Center di Juru telah kembali memberi perkhidmatan vaksinasi dos pertama bermula hari Rabu. PPV Juru ini sebelumnya diberitahu bahawa dos pertama vaksin Pfizer perlu dihentikan mulai hari Rabu kerana kekurangan vaksin. Namun tindakan segera diambil oleh pihak berkenaan untuk memulihkan bekalan vaksin ke PPV ini agar mereka dapat berfungsi seperti biasa.

Walaupun ini disambut baik, tindakan yang sama perlu diambil untuk memulihkan vaksin ke PPV lain yang menghadapi gangguan bekalan vaksin sehingga mereka boleh terus beroperasi. Vaksinasi adalah satu-satunya perlindungan dan perlu dipercepatkan dengan segala cara terutamanya dengan varian Delta yang ganas. Sebarang kelewatan dalam vaksinasi boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

PPV yang menghadapi kekurangan vaksin digalakkan untuk mengadu kepada wakil rakyat PH kawasan mereka yang akan bersuara bagi menyelesaikan masalah tersebut. Sudah sekian lama wakil rakyat PH telah bergantung kepada saluran dalaman tetapi tidak membuahkan hasil. Sudah tiba masanya untuk menunjukkan bahawa kita mengutamakan kepentingan rakyat dalam masalah kritikal melibatkan hidup dan mati. Keadaan huru-hara tidak boleh dibenarkan mengatasi kecekapan.

DAP berharap keempat-empat PPV yang telah ditutup untuk temu janji bagi penerima vaksin dos kedua, di Kompleks Sukan Balik Pulau, Balai Rakyat Bayan Baru, tapak Pesta di Sungai Nibong dan Dewan Milenium di Kepala Batas dapat dibuka semula dengan segera. Temu janji vaksin untuk minggu depan telah dijadualkan semula ke minggu berikutnya kerana gangguan bekalan vaksin Pfizer ke negeri ini bermula pada 12 Ogos. Dengan 1,251 kes dan 19 kematian baharu di Pulau Pinang pada 16 Ogos, rakyat Pulau Pinang tidak mampu untuk terus menunggu dengan risiko mendedahkan diri mereka kepada jangkitan dan juga kematian.