Skip to content

Keadilan mesti ditegakkan untuk kedua-dua anggota tentera laut yang terbunuh di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan Jumaat lalu serta ramai lagi yang tidak menemui ajal namun berkesudahan senasib seperti prebet Adam

Selepas dua orang anggota tentera laut terbunuh di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan Jumaat lalu; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dilaporkan berkata bahawa penderaan bukan suatu budaya dalam angkatan tentera.

Penderaan tidak pernah menjadi budaya di mana-mana tempat lain di dunia kecuali beberapa negara yang diperintah diktator. Justeru itu, kenapa Tan Sri PAT tidak menyebut sahaja bahawa penderaan adalah jenayah yang serius, dan para pelaku mesti dikenakan hukuman berat?

Bagaimana pula dengan angka insiden penderaan yang tidak mengakibatkan kematian di pengkalan tentera? Semalam, dua lagi anggota tentera laut mengalami kecederaan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi yang sama. Berapa ramai lagi anggota tentera patah tangan kaki dan lain-lain kecederaan akibat penderaan membuat aduan dalam setahun? Pastinya angka itu sangat rendah sekali. Siapalah yang berani mahu membuat aduan setelah didera pegawai atasan sekiranya mereka mahu terus bergiat dalam angkatan tentera?

Aspek keselamatan sepatutnya ketat di pengkalan tentera dengan penggunaan CCTV, apatah lagi di kawasan Bilik Tahanan. Berapa banyak kamera yang berfungsi ketika dua insiden tersebut berlaku di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan? Dua persoalan ini tidak boleh terus disembunyikan daripada pengetahuan umum apabila siasatan diselesaikan kelak.

Sekiranya kisah prebet Adam Jaafar itu benar, maka amalan penderaan dalam pasukan tentera telah berakar lebih daripada 30 tahun lalu. Pada 17 Oktober 1987, anggota berusia 23 tahun itu telah mengamuk di Kuala Lumpur dengan selaras senjata sehingga mengakibatkan satu kematian dan ramai lagi cedera. Beliau dilaporkan mengamuk kerana telah didera secara fizikal dan seksual oleh pasukan tentera. Maka saya perlu tanya Tan Sri PAT, adakah budaya penderaan ini telah dihentikan sejak tragedi prebet Adam atau adakah ia dibiarkan melarat sehingga 30 tahun kemudian?

Keadilan mesti ditegakkan untuk kedua-dua anggota yang telah terkorban serta ramai lagi yang tidak menemui ajal namun berkesudahan senasib seperti prebet Adam yang menerima parut emosi ekoran penderaan fizikal dan mental oleh rakan-rakan mereka sendiri. Anggota tentera yang bersikap buruk ini, termasuk yang terlibat menzalimi prebet Adam (jika kisah itu benar) mesti dibawa ke muka pengadilan.