Pada bulan lalu, 100 orang pegawai Jabatan Imigresen yang kebanyakannya bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dikaitkan dengan kegiatan mensabotaj sistem pengurusan imigresen MyIMMS berkomputer.
15 orang pegawai telah dipecat manakala 14 orang lagi digantung kerja, selebihnya telah dikenakan pelbagai tindakan lain. Berdasarkan pengakuan Ketua Pengarah jabatan itu sendiri, sindiket orang dalam ini telah beroperasi sejak enam tahun lalu. (Sumber: http://www.thesundaily.my/news/1821106)
Modus operandi sindiket orang dalam ini adalah dengan memanipulasi Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) bagi membolehkan kemasukan orang asing secara haram ke negara ini.
Kemusykilan dalam maklumat NERS terus diabaikan oleh kerajaan
Pihak berkuasa setakat ini tidak dapat menganggarkan jumlah orang yang telah masuk ke negara ini secara haram melalui sindiket orang dalam ini. Kebarangkalian pengganas yang masuk ke Malaysia melalui perbuatan khianat sindiket ini juga tidak dapat dikesampingkan.
Walau bagaimanapun, penemuan terhadap sabotaj MyIMMS ini mungkin hanya sebahagian kecil daripada masalah sebenar.
Pada bulan Oktober 2014, dalam ucapan saya di Parlimen, saya telah mendedahkan bahawa terdapat kemusykilan yang sangat membimbangkan dalam sistem imigresen yang satu lagi, iaitu, Sistem Biometrik Warga Asing dan Sistem Sekuriti Nasional Nexcode (NERS).
NERS Sdn. Bhd. telah diberi konsesi selama 12 tahun dari 1 Jun 2011 untuk merekod, memantau hal imigresen warga asing ke Malaysia dan juga untuk mengeluarkan Pas Lawatan (Kerja Sementara) (PLKS). Bagi setiap PLKS yang dikeluarkan, kerajaan akan membayar NERS Sdn. Bhd. sebanyak RM50.
Semakan melalui Anggaran Persekutuan dan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan beberapa tahun ini, saya mendapati bahawa terdapat percanggahan yang besar terhadap jumlah yang dibayar kepada NERS dengan jumlah PLKS dikeluarkan.
Pada tahun 2013, 1,386,591 PLKS telah dikeluarkan; justeru, berdasarkan yuran kontrak, kerajaan perlu membayar RM69.3 juta kepada NERS pada tahun itu.
Walau bagaimanapun, pemeriksaan semula dengan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013 mendedahkan bahawa kerajaan telah membayar NERS sebanyak RM105.2 juta.
Ini bermakna; sama ada, 1) kerajaan terlebih membayar sebanyak RM35.9 juta, atau 2) terdapat 718,000 pendatang yang memasuki negara melalui PLKS yang dikeluarkan oleh NERS tetapi tidak direkodkan oleh Jabatan Imigresen.
Ini hanya bagi tahun 2013, kita tidak tahu sekiranya ada masalah yang sama pada tahun-tahun yang lain sejak NERS telah diberikan kontrak.
Saya telah meminta penjelasan daripada kerajaan sejak tahun 2014 namun tidak mendapat sebarang jawapan.
Memandangkan pendedahan terbaru tentang sindiket orang dalam ini dalam isu sabotaj MyIMMS, saya menggesa kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia, untuk mengambil tindakan serius untuk menyiasat dan memberi jawapan tentang NERS.