Saya mengecam keras tindakan ADUN Manjoi, YB Hafez Sabri yang tanpa sebarang pengesahan telah membuat tuduhan melulu dengan menyatakan suspek wanita yang menyerang DYMM Sultan Perak sebagai berbangsa Cina.
Tindakan ini bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah jelas menunjukkan niat untuk mengheret kes jenayah ini ke arah sentimen perkauman, sekali gus menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Segala kes jenayah sepatutnya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan berdasarkan fakta. Seorang wakil rakyat, beliau seharusnya berpegang kepada prinsip tanggungjawab dan integriti, bukannya membuat tuduhan tidak berasas yang melabel kaum tertentu. Perbuatan ini adalah tidak bertanggungjawab dan mempunyai unsur hasutan.
DYMM Sultan Perak adalah payung kedaulatan bagi seluruh rakyat negeri Perak, tanpa mengira kaum atau agama. Mana-mana pihak yang cuba mengaitkan insiden ini dengan isu perkauman sebenarnya tidak menghormati kedudukan Sultan serta merosakkan keharmonian yang telah lama terbina di negeri ini.
Perlu diingat, ini bukan kali pertama YB Hafez Sabri cuba memainkan sentimen perkauman. Dalam Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning yang lalu, beliau turut mempergunakan isu penternakan babi untuk meraih modal politik murahan. Seorang ahli politik sepatutnya mengangkat agenda perpaduan dan kemajuan, bukannya mengapi-apikan sentimen kaum demi kepentingan politik peribadi.
Sehubungan itu, saya mendesak pihak polis untuk segera mengambil tindakan agar kenyataan fitnah seperti ini tidak terus menular. Saya juga menuntut YB Hafez Sabri membuat permohonan maaf secara terbuka dan menghentikan segala perbuatan yang boleh menimbulkan perpecahan kaum.
Perak adalah negeri berbilang kaum. Apa yang diperlukan ialah lebih banyak persefahaman dan saling percaya antara rakyat, bukannya membiarkan masyarakat kita diperalatkan oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab. Rakyat menuntut khidmat dan pembangunan sebenar – bukan perpecahan mahupun kebencian.