Keengganan bekas Perdana Menteri Najib Abdul Razak untuk menjelaskan sama ada beliau mengelirukan dan berbohong kepada Parlimen bahawa tiada satu sen pun dibayar oleh rakyat berhubung skandal RM52 bilion 1MDB menjelang Rabu (esok) seperti yang telah diarahkan oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun memerlukan Najib digantung serta-merta daripada Parlimen sementara menunggu Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Parlimen. Najib jelas menghina Parlimen apabila beliau berkata beliau hanya akan menjelaskan kepada Dewan Rakyat mengenai kenyataannya – bahawa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang pembayar cukai – selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai.
Jelas bahawa Najib lebih mementingkan berkempen dalam PRN Johor daripada menghormati ketinggian Parlimen dan membuat kenyataan yang benar sebagai Ahli Parlimen. Dengan memilih untuk mengingkari arahan Speaker, beliau telah melanggar Peraturan Mesyuarat 43 Dewan Rakyat, di mana keputusan Speaker adalah muktamad mengenai pematuhan peraturan. Jika Najib enggan menarik balik sikap degil dan besar kepala beliau, beliau harus segera dihukum dengan penggantungan daripada Parlimen sehingga beliau akur.
Bagaimana Najib boleh membiarkan Speaker menunggu sehingga selepas PRN Johor untuk mendapatkan maklum balas mengenai usul Tony Pua (Pakatan Harapan-Damansara) supaya Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) Dewan Rakyat berhubung pernyataan yang tidak benar dan tidak jujur? Adakah Najib menganggap diri beliau sebagai Bossku yang lebih besar daripada Speaker?
Dakwaan Najib di Dewan Rakyat bahawa tiada dana awam telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB tidak mempunyai merit dan tidak berasas apabila disangkal secara terbuka oleh Menteri Kewangan sekarang Tengku Zafrul Abdul Aziz dan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Menurut Kementerian Kewangan, RM19.14 bilion telah diperoleh semula setakat ini dan dimasukkan ke dalam akaun amanah pemulihan aset, bukan RM23 bilion seperti yang didakwa Najib, yang masih kurang separuh daripada jumlah kerugian sebanyak RM52 bilion.