Skip to content

Keengganan seorang menteri untuk menandatangani surat bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan Sabbaruddin Chik sebagai pengerusi Bank Rakyat adalah jelas satu penyalahgunaan kuasa dan mempunyai kemungkinan berlakunya korupsi

Sikap Bank Negara yang membisu terhadap skandal pinjaman RM32 juta Bank Rakyat memperlihatkan kurangnya komitmen Perdana Menteri terhadap prinsip-prinsip akauntabiliti dan integriti yang amat diperlukan demi membentuk sistem kewangan yang baik. United Nations Institute for Training and Research (Institute Latihan dan Kajian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) menyifatkan pengurusan kewangan yang baik sebagai satu set amalan dan prosedur agregat yang membolehkan pengurusan kewangan dan kontrak kerajaan secara tepat, telus dan berkesan.

Jelas sekali kedua-dua pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga Bank Negara telah gagal sama sekali sekiranya ujian sistem kewangan yang baik ini diaplikasikan, disebabkan keengganan mereka untuk jujur tentang skandal pinjaman RM32 juta Bank Rakyat yang didedahkan oleh bekas menteri UMNO yang juga bekas pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik yang dilaporkan di dalam The Malaysian Insider. Sabbaruddin terus mengulangi bahawa lembaga pengarah Bank Rakyat awalnya menolak tawaran pembayaran semula secara mudah sepanjang tempoh 10 tahun tanpa sebarang faedah terhadap pinjaman bernilai RM32 juta kepada ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Bagaimana pun Bank Rakyat terpaksa menerima pembayaran semula pinjaman RM32 juta itu melalui 120 cek tunda yang perlu ditunaikan pihak bank dalam tempoh 10 tahun, tanpa sebarang faedah; berikutan campurtangan politik Menteri Perdangan dalam negeri, Koperasi dan Hal ehwal pengguna Datuk Seri Hasan Malek. Sabbaruddin berkata benar apabila menyatakan bahawa tempoh sepuluh tahun yang diberikan untuk membayar hutang tanpa dikenakan faedah bermakna Bank Rakyat akan rugi.

Adakah piluhan pembayaran semula tanpa faedah ini turut tersedia untuk rakyat biasa yang meminjam dari bank? Adakah Hasan Malek akan melakukan campurtangan politik bagi pihak peminjam biasa untuk membenarkan pembayaran semula tanpa faedah dalam tempoh sepuluh tahun?

Keengganan seorang menteri untuk menandatangani surat bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan Sabbaruddin Chik sebagai pengerusi Bank Rakyat selepas 8 April tahun ini kerana beliau tidak setuju dengan skim pembayaran semula pinjaman RM32 juta tanpa faedah, adalah jelas satu penyalahgunaan kuasa dan mempunyai kemungkinan berlakunya korupsi. Bank Negara sewajarnya melancarkan siasatan penuh bagi mempertahankan kredibiliti dan integritinya sebagai pengawal selia profesional kepentingan awam, dan bukannya kepentingan peribadi dan politik kroni dan pemimpin BN.

Bank Negara juga harus jujur dan memperhitungkan kesemua perjanjian mudah dan pemberian pinjaman mega kepada VIP yang mempunyai kedudukan kewangan yang meragukan. Kegagalan berbuat demikian hanya menunjukkan bahawa pemimpin BN menguruskan negara bukan untuk kebaikan orang ramai tetapi demi faedah kroni. Selanjutnya ia turut mempersoalkan kredibiliti dan integriti Bank Negara dalam memastikan sistem kewangan yang baik dan boleh dipercayai apabila pinjaman diberikan semata-mata atas dasar naungan politik dan pemberian wang.