Skip to content

Kegagalan BN dan Bank Negara untuk melenyapkan rasuah dan mencegah pengubahan wang haram di Malaysia

Reputasi buruk Malaysia sebagai juara aliran wang haram per kapita menjadi dalil kukuh kegagalan BN dan Bank Negara untuk melenyapkan rasuah dan mencegah pengubahan wang haram di Malaysia. Ketika saya berada di London, sayu hati saya membaca laporan New York Times bahawa perkhidmatan kiriman wang tidak berlesen di Malaysia didakwa menjadi sebahagian daripada operasi besar pengubahan wang haram berpusat di Amerika Syarikat yang bernilai US$6 bilion (RM18.3 bilion).

New York Times melaporkan bahawa skim pengubahan wang haram yang beroprasi di bawah Liberty Reserve memiliki jutaan pelanggan di seluruh dunia yang ‘bersifat penjenayah’ tersebut telah melakukan 55 juta transaksi dalam tempoh tujuh tahun lalu. Dalam kes pengubahan wang haram dalam talian terbesar dalam sejarah, Liberty Reserve bergantung sepenuhnya kepada penukar pihak ketiga untuk menerima dan membuat bayaran bagi pihak mereka, yang selalunya merupakan ‘usahawan pengirim wang tidak berlesen yang tidak mempunyai badan pemantau kerajaan mahupun undang-undang yang signifikan, berpusat di Malaysia, Rusia, Nigeria dan Vietnam’.

Global Financial Integrity Report yang berpengkalan di Washington telah menyenaraikan negara China di tangga pertama dalam aliran keluar wang haram, yang selalunya berunsur rasuah, berjumlah US$ 2.8 trilion; dan Malaysia berada di kedudukan kelima di dunia dengan US$ 291 bilion. Namun atas dasar per kapita, China kalah kepada juara dunia Malaysia dengan hanya sekadar RM6,400 seorang setahun berbanding RM32,000 bagi Malaysia.

Di England, Malaysia malangnya mempunyai sejarah silam apabila warganya ada yang menjadi ‘bookie’ yang mengatur perlawan bola sepak Liga Perdana Inggeris. Reaksi negatif dari hal tersebut kini kian pudar berikutan kesan positif penglibatan Malaysia dalam milikan kelab Liga Perdana Inggeris seperti Queen Park Rangers dan Cardiff City.

Malangnya, budaya rasuah kerajaan Malaysia dan kurangnya ketelusan kewangan serta akauntabiliti telah mengakibatkan Malaysia menjadi fokus dunia sebagai pusat operasi pengubahan wang haram global. Reputasi antarabangsa Malaysia kini lebih teruk daripada Thailand atau Indonesia dan hampir sebaris dengan negara seperti Nigeria dan Rusia dalam hal pengubahan wang haram.

Masanya telah tiba untuk Kerajaan Persekutuan BN berhenti hidup dalam penafian dengan melaksanakan reformasi kewangan yang tulen untuk membersihkan dan menghentikan aktiviti jenayah aliran keluar wang haram serta pengubahan wang haram. Jika tidak, tidak ada ertinya Bank Negara mendapat pelbagai penghargaan untuk apa yang disangkakan sebagai pengurusan ekonomi yang baik padahal isu sebenar berkaitan ketelusan dan akauntabiliti tidak boleh diuruskan.

Atau adakah kita akan terus bergantung kepada negara luar seperti Hong Kong untuk bekerja bagi pihak kita bagi menyiasat dan menahan mereka yang terlibat menyeludup puluhan juta ringgit?