Skip to content

Kegagalan pihak berkuasa untuk mendakwa Sanjeevan membuka kotak Pandora tentang betapa selekeh dan cincainya penyiasatan jenayah di negara ini

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kelmarin telah membebaskan pengerusi Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) R Sri Sanjeevan daripada tuduhan menghina mantan ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Peguam Sanjeevan memberitahu media bahawa pihak pendakwa raya mendakwa bahawa Sanjeevan telah menulis ‘Khalid, are you an idiot?’ di Facebook, namun tidak membuktikan bahawa akaun Facebook itu benar-benar milik Sanjeevan. Mahkamah membebaskan beliau atas alasan ini.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kegagalan pihak berkuasa untuk mendakwa Sanjeevan membuka kotak Pandora tentang betapa selekeh dan cincainya penyiasatan jenayah di negara ini. Pertama sekali, adakah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memutuskan secara sah bahawa akaun terlibat adalah akaun Sanjeevan? Atau adakah SKMM langsung tidak pasti? Selain SKMM, apakah wujud sebarang siasatan polis untuk memutuskan siapa pemilik akaun Facebook terbabit? Akhir sekali, adakah Jabatan Peguam Negara telah terkeliru dengan siasatan sehingga boleh mendakwa Sanjeevan?

Lebih ramai mangsa telah dan akan merana akibat pendakwaan salah sekiranya para penyiasat yang tidak cekap dan tidak beretika ini tidak dipecat daripada badan-badan penguatkuasa.

Pihak berkuasa sepatutnya kini menyiasat pengadu dalam kes Sanjeevan ini, sekiranya laporan palsu telah dibuat? Dalam kebanyakan kes, mangsa-mangsa tidak bersalah tidak mempunyai sebarang pilihan tindakan terhadap sesiapa pun, termasuk kerugian melibatkan yuran guaman, masa yang telah dibazirkan untuk turun naik mahkamah, masa yang terbazir di dalam lokap selain aib yang ditanggung, setelah berjaya melawan pertuduhan-pertuduhan jenayah terhadap mereka.

Lebih teruk lagi, merekalah yang terpaksa menanggung kos guaman sekiranya pihak pendakwa raya berhasrat untuk merayu keputusan mahkamah.

Oleh yang demikian, wajar dan perlu penyiasatan jenayah yang dibuat secara sambil lewa dan cincai serta membawa kepada pendakwaan salah, mesti dijadikan satu kesalahan di sisi undang-undang. Ini bagi mengelak pendakwaan yang dibuat secara mala fide, selain mempertingkat kualiti siasatan jenayah di negara kita.