Kegagalan Perikatan Nasional (PN) untuk mencapai kemenangan “Sapu Bersih” dalam enam pilihan negeri dan membentuk sekurang-kurangnya lima jika bukan enam kerajaan negeri adalah keputusan yang sangat jelas.
Para pemimpin PN dari PAS dan Bersatu sangat yakin dengan kemenangan 5-1 jika bukan 6-0, dan yakin akan membentuk sekurang-kurangnya lima kerajaan negeri, namun perkara ini terbukti hanya kata-kata kosong.
Walaupun PN berjaya mencatatkan peningkatan di tiga negeri, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, gabungan ini tidak berjaya untuk menghalang gabungan Pakatan Harapan–Barisan Nasional dari memenangi majoriti dua pertiga di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Malah yang lebih penting lagi, cakap besar PN yang mengatakan kemenangan besar untuk mereka dalam enam pilihan negeri ini akan membawa kepada kejatuhan kerajaan perpaduan Anwar di peringkat persekutuan ini kini terbukti hanya sembang-sembang kosong.
Keputusan malam semalam membuatkan saya teringat kepada Pilihan Raya Umum 2004, di mana PAS telah kehilangan pencapaian yang dicapainya dalam Pilihan Raya Umum 1999, di mana parti tersebut menang 27 kerusi Parlimen dan kerajaan negeri Terengganu. Pada tahun 2004, parti tersebut hanya menang tujuh kerusi Parlimen dan telah hilang kerajaan negeri Terengganu.
Adakah kini keputusan pilihan raya yang menanti PN, terutamanya PAS, dalam Pilihan Raya Umum ke-16 pada tahun 2027?
Penting untuk kerajaan perpaduan Anwar mengatasi masalah dan kegusaran rakyat mengenai kesenjangan ekonomi yang memacu pencapaian PN dalam enam pilihan raya negeri ini dan kerana inilah Sidang Khas Parlimen pada bulan September depan penting untuk memberikan sokongan Parlimen terhadap rancangan Ekonomi Madani untuk menunjukkan terdapatnya pertukaran dasar dan reformasi institusi yang bermanfaat untuk semua bahagian komuniti di Malaysia.
Mereka tidak boleh bazirkan empat tahun yang ada sebelum 2027 dengan tidak menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dan mereka perlu jadikan Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan sebagai contoh kepada Kelantan, Terengganu, dan Kedah dan bukannya menjadikan Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah.
Enam pilihan raya negeri ini juga telah menjadi satu bencana kepada MUDA, yang mana saya telah nasihatkan mereka sebelum ini.
Ketika negara berhadapan dengan pilihan di antara kumpulan yang benar dan yang salah, di antara peluang untuk bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia atau terus kekal dalam hala tuju menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup, tidak ada alternatif lain.
Saya telah katakan yang saya kagumi idealisme calon-calon MUDA walaupun mereka semua telah hilang deposit.
Saya nasihatkan mereka untuk tidak berputus asa, dan saya juga mungkin akan cadang untuk mereka berfikir mengenai kemungkinan untuk bersatu dengan DAP.
Saya tidak membuat satu tawaran rasmi dari DAP kerana saya telah bersara dari pimpinan barisan hadapan DAP.
Perkara ini hanyalah pandangan peribadi saya.
Terserahlah kepada pimpinan DAP dan MUDA untuk memutuskan mengenai perkembangan politik ini.