Pada minggu lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bertindak begitu agresif cuba lari daripada tanggungjawabnya berkenaan penganugerahan melalui rundingan terus (RT), Projek Sisa Pepejal Taman Beringin atau PSPTB sebanyak RM170.3 juta. Hakikatnya, projek sebesar ini tidak mungkin diluluskan tanpa pengetahuan beliau atau permohonan daripada Kementerian beliau.
Malangnya, Zuraida masih cuba menegakkan benang yang basah dengan menuduh bahawa sayalah yang meluluskan PSPTB pada 20 Februari 2019 tanpa pengetahuannya. Ini merupakan suatu perkara yang mustahil. Saya ingin tegaskan bahawa amalan biasa ialah Kementerian yang bertanggungjawab (iaitu KPKT) akan memohon kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk mana-mana projek RT dijalankan. Justeru, semestinya akan ada surat daripada KPKT kepada MOF.
Surat permohonan KPKT kepada MOF tersebut sepatutnya dihantar pada tahun 2018 oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPKT memandangkan projek ini melibatkan jumlah besar sebanyak RM170.3 juta. KSU KPKT tidak mungkin menulis surat rasmi pada tahun 2018 kepada MOF tanpa pengetahuan atau restu Menterinya, iaitu Zuraida.
Sekiranya benar permohonan dibuat tanpa pengetahuan Zuraida, KSU boleh dikenakan tindakan disiplin. Saya tidak percaya bahawa KSU KPKT ialah seorang yang sanggup bertindak “khianat” sedemikian walaupun terhadap seorang Menteri “pengkhianat” PH.
Sehingga hari ini Zuraida gagal menafikan kewujudan surat permohonan daripada KSU KPKT pada tahun 2018 kepada MOF untuk melantik semula menerusi RT pengusaha projek ini. Ini jelas bermaksud memang ada surat permohonan daripada KPKT. Zuraida juga gagal mendedahkan sebarang surat kepada KPKT daripada MOF atau daripada saya. Saya berharap Zuraida janganlah sorok-sorok, sembunyikan fakta, menutup kebenaran atau lari daripada hakikat sebenarnya.
Bila Lagi Senarai Projek RT BN Dan PN Akan Didedahkan?
Dalam pendedahan projek RT oleh kerajaan PH, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah membuat satu penipuan kerana daripada jumlah RM6.61 bilion, 95% atau RM6.258 bilion, ialah projek yang diwarisi dan projek sambungan dari zaman Barisan Nasional(BN), yang terpaksa diteruskan oleh PH. Dalam kata lain projek RT di bawah inisiatif PH bukanlah RM6.61 bilion seperti yang diuar-uarkan, tetapi sebenarnya hanya 5.3% daripada jumlah itu, yakni RM352 juta!
Daripada jumlah RM352 juta ini pula, 48.3% atau RM170.8 juta adalah projek rundingan terus oleh KPKT di bawah Zuraida. Demi menegakkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti, beliau perlu memberikan jawapan kepada rakyat.
Zafrul harus mendedahkan projek RT zaman BN, dan yang penting sekali projek RT yang diluluskan oleh beliau sendiri dalam kerajaan Perikatan Nasional(PN). Buktikan bahawa semua projek RT yang diluluskan oleh Zafrul sendiri adalah teratur dan berkepentingan awam.
Jangan ada double-standard atau “antara dua darjat” seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM) yang hanya berhasrat mengkaji projek RT PH, tetapi tidaknya projek RT BN atau PN.